Yayasan Masjid akan diwujudkan di Perak

Kerajaan Negeri akan mewujudkan sebuah yayasan khusus untuk membantu menyelaras pembangunan dan aktiviti masjid-masjid di Perak tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keputusan mewujudkan Yayasan Masjid dibuat pada mesyuarat exco kerajaan negeri setelah mendapat perkenan daripada Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Beliau berkata, yayasan tersebut adalah bagi melengkapkan dan memantapkan program pembangunan dan kegiatan masjid yang berkaitan dengan hal ehwal institusi tersebut dan aktiviti dakwah.

"Harapan kerajaan negeri ialah Yayasan Masjid akan memantapkan usaha-usaha mengembangkan syiar Islam dengan sebaik-baiknya di samping memastikan pembangunan fizikal masjid dan surau dilaksanakan secara lebih tersusun.

"Kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan kepada yayasan ini yang akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2011." katanya.


DS Dr Zambry menjelaskan, selain geran awal kerajaan negeri juga akan meperuntukkan sebidang tanah seluas lebih 1,000 hektar sebagai modal yayasan tersebut menjana pendapatan.

Katanya yayasan tersebut akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Perak (MAIP) dan akan mempunyai ahli lembaga pengarah yang bakal ditentukan oleh MAIP.

No comments:

Post a Comment