Sekolah Agama Rakyat di Perak akan dibekalkan kemudahan ICT



Semua Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Perak akan dibekalkan dengan komputer dan perkakasan ICT dalam usaha kerajaan memastikan pelajar sekolah itu tidak terpinggir daripada arus perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah tersebut yang akan dilaksanakan oleh KPerak INC Corporation (KPerak) bertujuan membantu SAR tidak ketinggalan daripada arus literasi dengan membekalkan kemudahan ICT yang diperlukan.

Katanya KPerak akan bertanggungjawab mengenal pasti kesemua SAR yang memerlukan sumbangan komputer dan perkakasan ICT itu.

Jelas beliau lagi kerajaan negeri memperuntukkan bajet yang bersesuaian untuk memastikan program tersebut berjalan dengan lancar bagi kebaikan dan manfaat pelajar SAR di negeri ini.

"Program pembestarian SAR ini amat diperlukan khususnya di sekolah-sekolah pedalaman bagi memastikan jurang digital di kalangan rakyat Perak dapat dikecilkan selain membantu meningkatkan kadar penembusan Internet di negeri ini," katanya.

Program ini akan dilancarkan pada 27 Oktober ini sempena lawatan Zambry ke Sungai Siput (U) dengan majlis penyampaian sumbangan komputer sebanyak 50 buah kepada 25 SAR sekitar daerah itu.



1 comment:

  1. Cerita bekalkan komputer ..kenapa gambarnya kerusi roda pulak?

    ReplyDelete