Pembahas Perlu Beri Fokus 10 Perkara, Bina Model Politik Baru


KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berharap para perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 nanti memberi fokus kepada 10 perkara yang berkaitan kekuatan orang Melayu, parti UMNO dan kemajuan negara.


Jelas beliau secara keseluruhan lazimnya terdapat tiga usul yang akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO iaitu usul ucapan dasar presiden, usul ekonomi serta usul pendidikan dan agama.

Namun beliau berharap dalam ketiga-tiga perbahasan usul tersebut pembahas menyentuh 10 perkara berkenaan bagi memastikan kelangsungan UMNO sebagai parti tunggak kepada pemerintahan negara.

“Pembahas harus membicarakan Gagasan 1Malaysia yang berlandaskan perlembagaan negara, program transformasi kerajaan seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), program transformasi ekonomi (ETP) dan NKEA, RMK-10 dan Bajet 2011 yang memberi manfaat untuk rakyat terbanyak.

“Pada masa yang sama pembahas tidak harus melupakan isu-isu perpaduan Melayu dalam berhadapan senario politik semasa, cadangan menguatkan UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu, cadangan memastikan Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihanraya kecil dan pilihanraya umum ke 13, kekuatan dan kelemahan pembangkang yang wajar kita hadapi, mengukuhkan bangsa Melayu bersama rakyat Malaysia dan kedudukan negara dalam scenario politik global yang semakin mencabar”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas menyampaikan ceramah pada Kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi selain memberi kritikan membina, pembahas juga perlu memberi cadangan konkrit agar ia boleh memberi penambahbaikan terhadap memantapkan lagi UMNO dan BN bagi berhadapan cabaran masa depan terutama dalam menghadapi pilihanraya umum nanti.

“Pembahas perlu memberikan idea segar kerana dalam suasana sekarang UMNO perlu kepada Model Politik Baru.

“Suasana dan cabaran pada masa kini cukup berbeza.  Oleh itu UMNO mesti melakukan perubahan bersesuaian dengan tuntutan semasa”, ujarnya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment