Perak laksana pemantauan ketat bendung aktiviti pengambilan pasir haram


Kerajaan negeri sentiasa melakukan pemantauan yang ketat mengikut undang-undang sedia ada bagi mengekang aktiviti pengambilan pasir secara haram di Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Katanya kesungguhan kerajaan negeri dalam menjalankan penguatkuasaan dapat dilihat berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri di mana satu kes pengambilan pasir secara haram telahpun dibawa ke mahkamah manakala sebanyak 97 kes lagi yang melibatkan pelanggaran syarat permit pengambilan pasir telah diambil tindakan.

Katanya kerajaan negeri juga tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak termasuk penjawat awam yang didapati terlibat dengan aktiviti pengambilan pasir haram di negeri ini.
"Kita tidak akan bertolak ansur (terhadap mana-mana pihak) lebih-lebih lagi jika ia ada melibatkan pegawai dan kakitangan kerajaan.

"Setiap kes itu akan dinilai mengikut merit masing-masing berdasarkan prosedur dan undang-undang yang ada. Tindakan menukar (pegawai dan kakitangan terlibat) sahaja tidak cukup. Ini tidak akan menyelesaikan masalah.

"Jika kita dapati ada berlaku penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, ada undang-undang yang boleh kita ambil terhadap mereka ini," katanya selepas membuat lawatan kerja ke Pejabat Tanah dan Galian Negeri, di Ipoh.

Zambry diminta mengulas Laporan Audit 2009 mengenai prestasi PTG Negeri yang menyatakan bahawa aktiviti pengambilan pasir secara keseluruhannya, adalah tidak memuaskan kerana berlaku banyak kes perlanggaran syarat yang ditetapkan jabatan.

Laporan itu turut menyarankan penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap aktiviti pengambilan pasir perlu dijalankan supaya tidak berlaku impak serius terhadap alam sekitar dan berlaku ketirisan hasil kerajaan negeri.
"Kita tidak salahkan laporan audit. Apa yang dimaksudkan adalah kita perlu ada tindakan yang lebih tersusun. Sememangnya pengeluaran pasir menjadi satu masalah kerajaan negeri termasuklah Perak. "Pemantauan agak sukar dilakukan lebih-lebih lagi Perak sebuah negeri yang besar," katanya.

Zambry berkata kerajaan negeri kini sedang dalam proses mengenalpasti kaedah-kaedah pengurusan pengambilan pasir yang lebih sesuai bagi menggantikan prosedur yang sedia ada.

"Prosedur yang ada merupakan satu kaedah proaktif berkesan dalam mengawal pengambilan pasir pada satu ketika dahulu sehingga Perak mendapat pengiktirafan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) sebagai antara negeri yang mempunyai pengurusan pasir terbaik.

"Namun, dengan perkembangan semasa, kaedah ini mungkin sudah tidak lagi sesuai. Maka kita perlukan satu kaedah baru terutama daripada segi tindakan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan supaya operasi pengambilan pasir secara haram tidak terus berleluasa," katanya.

No comments:

Post a Comment