Proses pemilihan UMNO akan didahului pemilihan olok-olok




Pemilihan olok-olok membabitkan pelbagai jawatan mulai tahun ini, sebagai persediaan memastikan kelancaran proses pemilihan UMNO yang bakal diadakan nanti. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun tarikh sebenar pemilihan UMNO belum diketahui, ia perlu supaya proses pemilihan akan datang tidak mengalami masalah sehingga boleh menjejaskan keharmonian parti.

"Arahan daripada ibu pejabat parti sudah pun dibuat. Jawatankuasa Pemantauan juga sudah kita tubuhkan dan saya sudah bawa perkara ini ke Majlis Tertinggi, baru-baru ini. Harapan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan adalah untuk melihat pemilihan olok-olok itu diadakan bermula tahun ini.

"Bila (tarikh) pemilihan parti, Wallahualam, tetapi ia tidak menyekat kita melakukan persiapan supaya apa yang kita lihat dalam parti pembangkang iaitu pemilihan Parti Keadilan Rakyat, baru-baru ini tidak berlaku kepada UMNO," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan UMNO berkata, pemilihan olok-olok itu membolehkan pihak berkaitan termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dapat menyediakan keperluan lebih awal termasuk kos mesyuarat dan soal logistik seperti lokasi dan perjalanan perwakilan terutama di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, semua pemimpin dan ahli UMNO termasuk golongan muda di seluruh negara perlu membina serta menunjukkan gelombang akar umbi, kesedaran dan transformasi.

"Ia perlu bagi memastikan parti terus relevan dan kukuh dalam meneruskan agenda perjuangan bangsa, agama dan negara, selain berani untuk berdepan pelbagai tohmahan dilemparkan pembangkang yang banyak bersandarkan kepada serangan peribadi, fitnah, kebencian, pecah belah dan isu perkauman," katanya.

DS Najib Tun Razak ~ Pas Boleh Bersama UMNO Perjuangkan Islam, Bukannya Dap!!!


JENGKA, 27 Feb – Pas perlu mencari rakan yang benar-benar mengetahui mengenai Islam jika benar mereka ingin memperjuangkan Islam di negara ini, bukannya dengan mereka yang jahil mengenai Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pas boleh duduk semeja bersama UMNO untuk memperjuangkan Islam kerana  perjuangan Islam yang dilakukan oleh UMNO adalah untuk menjadikan Islam itu hebat yang akan turut dicontohi oleh negara lain.
“Membangun bersama Islam, nak perjuangkan Islam, Islam yang macam mana, Islam yang miskin papa kedana, Islam yang orang tak ada tanah, Islam yang rumah robek, itu bukan imej Islam yang diperjuangkan oleh kita. 
Kalau nak perjuangkan Islam berunding dengan UMNO, boleh perjuangkan Islam, runding dengan Dap tak boleh perjuangkan Islam yang sebenarnya,” katanya di majlis mesra bersama warga Felda di Felda Jengka 22.
Menurutnya, Pas perlu ikhlas jika benar mereka ingin memperjuangkan Islam bukan hanya sebagai modal politik dalam usaha untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat.
Najib berkata, apa yang peliknya Pas sanggup bekerjasama pihak yang sememangnya secara terang-terangan menentang perjuangan Islam di negara ini iaitu Dap, malah Pengerusinya, Karpal Singh pernah menyatakan langkah mayatnya terlebih dahulu jika Pas ingin menubuhkan negara Islam di negara ini.
Tambahnya, pembangkang sudah sering kali membuat pembohongan dan penipuan kepada rakyat tetapi sehingga sekarang apa yang pernah diucapkan tidak pernah menjadi kenyataan.
“Jangan nak tipu, jangan nak kelentong, banyak sangat tipu ini, tipu 16 September 2008 tipu besar, nak jadi habuk pun tak jadi, apa yang jadi orang dia seberang, orang kita tidak ada,” katanya.
Beliau meminta rakyat membuat penilaian terhadap apa sahaja yang dikatakan oleh pembangkang kerana apa itu semua adalah sekadar untuk mendapat sokongan dan simpati.
Sumber: Media UMNO

Pertemuan dengan Ketua - Ketua Bahagian sebahagian daripada Tranformasi Politik...


Pertemuan Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak bersama-sama Ketua - Ketua Bahagian UMNO merupakan satu langkah yang baik dalam usaha memahami dan menyelami permasalahan rakyat. Ia juga merupakan sebahagian daripada transformasi politik yang akan menjadi agenda utama buat UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Pertemuan yang berlaku itu juga, disifatkan sangat berfaedah kerana berhasil dalam mendengar rakyat lebih jelas selain memahami permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi. 
DS Najib Tun Razak berkata, “Kita dengar pa masalah dalaman yang berlaku dalam sesetengah bahagian dan bagi nasihat untuk lakukan apa yang sepatutnya agar perjuangan parti terus padu,”. 
Beliau mengakui wujud beberapa masalah dalam beberapa bahagian UMNO tetapi tidak sampai rapuhkan UMNO seperti parti lain sehingga ada yang sanggup keluar parti.
“Tentunya kita tidak akan dapat selesaikan 100 peratus masalah yang berlaku tetapi sekuarng-kurangnya kita boleh jadikan ia seminima mungkin dan tidak menjejaskan kelicinan dan kelancaran proses dalam pentadbiran UMNO.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas berkaitan peletakan jawatan presiden Mesir, Hosni Mubarak, semalam.
“Saya berharap proses peralihan kuasa di Mesir berjalan dengan licin dan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti ketegangan dan keganasan yang serius.
“Saya yakin rakyat Mesir dapat menentukan nasib dan masa depan mereka dan saya berharap bahawa keadaan ini dapat diuruskan dengan baik sehingga tiba masa untuk mengadakan pilihan raya umum,” katanya.
Katanya senario di Mesir tidak boleh disamakan dengan keadaan di Malaysia apatah lagi rakyat faham dan matang membuat penilaian berlandaskan apa yang berlaku.
“Kita sejak awal lagi sentiasa menyedari perkara yang perlu diutamakan sebagaimana apabila kita menekankan rakyat didahulukan. Apapun dasar kita, program kita maka prinsip utama mesti mendahulukan iaitu meletakkan rakyat di tempat utama,” katanya.
Beliau berharap agar rakyat Mesir yang mahukan perubahan akan mendapat sebuah kerajaan baru yang akan memenuhi kehendak mereka, iaitu kepada perubahan yang akan memberi kepuasan kepada mereka.