YAB DS Dr Zambry - Keputusan kes saman pengajaran buat semua


Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan kemenangan kes saman sivil beliau sebagai pengajaran buat semua pihak.

"Ini adalah kemenangan bukan untuk diraikan. Ia adalah sesuatu pengajaran besar kepada mereka agar tidak keterlaluan menggunakan apa cara sekalipun bagi menjatuhkan, memalukan, menghina, merosakkan atau memfitnah seseorang.

"Ia juga menjadi bukti bagaimana sesuatu cerita direka semata-mata atas nama nafsu serakah yang mahu menggodam seseorang tanpa rasa dosa dan nilai kemanusiaan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya telah menulis kepada Suara Keadilan agar memohon maaf atas perbuatan mereka tetapi dengan angkuh dicabar untuk bertemu di mahkamah. 

Zambry mengulas tentang penghakiman terhadap akhbar Suara Keadilan dalam kes saman RM100 juta yang difailkannya berhubung penyiaran artikel fitnah oleh lidah Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Noordura Mohamad Din membenarkan permohonan beliau untuk mendapatkan penghakiman pada bahagian-bahagian tertentu dalam pernyataan pembelaan defendan selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak di dalam kamarnya

"Kini mahkamah telah membuat keputusan. Saya terima dengan penuh keinsafan," kata Zambry.
Beliau turut mengucapkan terima kasih pada pasukan peguam yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

Perkukuh Jalinan Persaudaraan


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru umat Islam di negara ini supaya memperkukuhkan jalinan persaudaraan dan perpaduan tanpa mengira perbezaan harta, pangkat, bangsa, budaya mahupun ideologi politik.

Sejajar dengan sambutan Aidiladha, Timbalan Perdana Menteri pada masa sama turut meminta umat Islam melakukan muhasabah diri dengan cara meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Dalam konteks negara pula, beliau mahu seluruh rakyat menghayati pengorbanan yang dilakukan pejuang-pejuang terdahulu dalam usaha mereka mewujudkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara.
”Hanya dengan menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta bersedia melakukan pengorbanan demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara yang boleh membuatkan umat Islam di Malaysia muncul sebagai umat contoh.
”Hanya dengan menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta bersedia melakukan pengorbanan demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara yang boleh membuatkan umat Islam di Malaysia muncul sebagai umat contoh.

”Iaitu umat yang menjadi paksi kepada kekuatan tamadun Islam dan cerminan kepada kemurnian agama Islam sebagai satu-satunya agama di sisi Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Aidiladha yang dikeluarkan di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri dalam perutusannya turut menyarankan umat Islam supaya menggunakan kesempatan perayaan Aidiladha yang penuh keberkatan ini untuk menilai mengenai sumbangan yang telah dicurahkan kepada negara.

”Kita juga perlu menilai apakah sumbangan yang boleh kita berikan kepada pertiwi demi mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang kita nikmati selama ini,” katanya.

Berhubung ibadat haji, beliau berkata, ibadat tersebut melambangkan kesaksamaan dan perpaduan dalam Islam yang merentasi perbezaan bangsa dan warna kulit.

Katanya, di sebalik litupan ihram yang meleburkan tembok harta dan pangkat, tiada apa-apa lagi dapat membezakan seorang muslim dengan muslim lain kecuali tingkat keimanan serta ketakwaan kepada Allah.
Muhyiddin dalam pada itu mengajak umat Islam di Malaysia menghayati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai panduan untuk muncul khaira ummah atau umat terbaik di sisi Allah.

”Di kesempatan ini saya juga mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan yang sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menjaga keselamatan negara bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat terus mengecapi keamanan serta kemakmuran,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada mereka yang pulang ke kampung supaya memandu dengan cermat dan mematuhi undang-undang jalan raya demi kebaikan semua.

”Dengan semangat 1Malaysia, diharap cuti Aidiladha ini digunakan untuk menziarahi keluarga dan sahabat handai yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Tengku Adnan - Hayati Falsafah Aidiladha Untuk Kesejahteraan


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyarankan agar umat  Islam negara ini menghayati sepenuhnya erti pengorbanan sempena hari raya Aidil Adha yang akan disambut Rabu ini  untuk memastikan Islam  dan negara terus dihormati.


Menurut beliau kesejahteraan hidup yang telah dikecapi sejak sekian lama dan keamanan yang digagaskan secara bersama antara pelbagai kaum di negara ini perlu dipertahankan sebaik mungkin dengan berpaksikan kepada semangat pengorbanan.

“Kita di negara ini hidup dengan rukun pelbagai kaum dan kesatuan dalam kepelbagaian. Prinsip pengorbanan perlu ada dalam setiap diri kita agar negara dan Islam akan terus maju dan dipandang tinggi seluruh dunia.
“Janganlah kita sesekali tersilap langkah dengan mengambil semangat pengorbanan itu  untuk menghancurkan apa yang telah dikecapi sejak sekian lama semata-mata untuk kepentingan diri tanpa memikirkan kepada natijahnya kepada agama dan negara.
“Janganlah kita sesekali tersilap langkah dengan mengambil semangat pengorbanan itu  untuk menghancurkan apa yang telah dikecapi sejak sekian lama semata-mata untuk kepentingan diri tanpa memikirkan kepada natijahnya kepada agama dan negara.”
“Kepada golongan ini, ambillah semangat pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang bersedia melakukan apa sahaja demi mencapai keredaan Allah dan bukannya pengorbanan untuk nafsu serakah yang tidak memberi apa-apa manfaat sebaliknya kehancuran semata-mata,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya membidas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan di negara ini dengan mengambil kesempatan memanipulasi isu-isu tertentu untuk kepentingan mereka tanpa melihat kesannya secara menyeluruh.

“Ambillah falsafah Aidiladha untuk pembangunan ummah sejagat dan bermuhasabahlah dengan ikhlas kerana Aidiladha mengajar umat betapa setiap perjuangan itu memerlukan cita-cita dan idealisme yang disemangati prinsip dan nilai Islam sejati.

“Setiap perjuangan juga menagih komitmen setiap pendukungnya untuk bersedia menderita, berkorban dan terkorban demi mencapai cita-cita dan idealisme suci dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.
Datuk Seri  Tengku Adnan seterusnya mengajak umat Islam agar  mencontohi pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban demi membangunkan negara yang diwarisi hari ini.

Katanya kejayaan negara dalam memacu pembangunan untuk seluruh rakyat tanpa mengira latarbelakang kaum dan fahaman agama hari ini adalah kerana adanya pengorbanan jiwa dan raga seluruh peringkat rakyat jelata.

“Di sinilah pentingnya semangat pengorbanan yang mendasari falsafah Aidiladha untuk kembali dijiwai oleh generasi pewaris negara dan pelanjut perjuangan agama dan bangsa.

“Golongan yang tidak menghayati semangat ini merupakan mereka yang tergolong di dalam golongan yang tidak bersyukur terhadap apa yang dinikmati hari ini.

“Justeru, sempena Hari Raya Korban ini, umat Islam harus kembali menghayati semangat pengorbanan yang mendasari dalam falsafah Aidiladha. Umat Islam perlu sedar bahawa perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan membina tamadun gemilang tidak akan berjaya sekiranya tiada kesediaan untuk berkorban dalam diri,” katanya.