Parti-parti politik di negara ini diingatkan agar tidak melampaui batasan berpolitik sehingga mampu mencetus isu perkauman dan keagamaan yang akhirnya merosakkan negara!
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan jika ia tidak diberi perhatian, parti politik itu sebenarnya sangat tidak bertanggungjawab kepada masa depan pembangunan negara yang telah dibina sekian lama.
“Ada had dan batasan untuk berpolitik dan bukan semuanya boleh dipolitikkan dan jika ia berlaku ia satu tindakan tidak bertanggungjawab kepada masa depan rakyat dalam negara ini,” katanya.
Ingatan beliau ini sebagai mengulas ingatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada DAP supaya tidak menekankan soal hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum tersebut.
DS Najib berkata demikian semasa mengulas cadangan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kepada kerajaan Selangor agar memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada Bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.
PUTRAJAYA 28 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan DAP supaya tidak terlalu menekankan soal hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum tersebut.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan cuba menentukan dasar-dasar yang adil dan saksama tetapi orang Melayu dan bumiputera akan merasa marah jika parti itu asyik menekankan tentang soal penghapusan dasar membabitkan kepentingan orang Melayu di negara ini.
“Kalau terlalu menekan orang Melayu dan bumiputera tanpa mereka melihat ada juga pihak lain yang memberi pertimbangan kepada orang Melayu terutama sekali swasta, ia akan ada rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.
“Maknanya, orang Melayu pun mengharapkan syarikat-syarikat swasta (yang dikuasai bukan bumiputera) membantu mereka dalam memajukan ekonomi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan – Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Orlaith Inc. Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Perikatan Malaysia (AFM).
Hadir sama beberapa menteri dan Pengerusi AFM, Tan Sri Sabaruddin Chik.
Pada majlis itu, Najib turut meluangkan masa menonton persembahan teater Tun Razak-Suatu Pengisahan yang menampilkan pelakon Melissa Saila sebagai Tun Rahah manakala Mazlan Tahir sebagai Tun Razak.
Najib mengulas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kepada kerajaan Selangor agar memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.
Tony yang juga Penasihat Ekonomi Setiausaha Agung DAP mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.
Sementara itu Najib berkata, meskipun pemberian diskaun kepada bumiputera itu merupakan bidang kuasa yang termaktub di bawah kerajaan negeri, setakat ini negeri di bawah Barisan Nasional (BN) tidak bercadang menghapuskan dasar berkenaan.
“Walaupun saya akui dasar itu tidak mungkin akan kekal selama-lamanya tetapi pada masa ini, ia (penghapusan diskaun) belum sesuai lagi,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, generasi baru boleh mengambil teladan dari segi gaya kepimpinan Tun Abdul Razak yang banyak terserlah termasuk begitu rapat dengan rakyat bawahan.
Katanya, ciri kepimpinan tersebut perlu dikupas dan dianalisis oleh generasi muda hari ini.
“Tun Razak meniti tangga rumah yang robek, ada gambarnya. Dengan hanya berbaju singlet masuk kolam untuk menjala bersama-sama orang kampung, juga ada gambarnya dan meniti jambatan lama di celah-celah bendang, ada gambarnya.
“Imej itu masih tersemat dalam ingatan rakyat sehingga sekarang,” katanya.
Najib mengimbas bapanya terkenal dengan identiti 3B iaitu gemar memakai ‘bush jaket’ ketika di luar pejabat, bertongkat dan berdehem setiap kali ingin berucap menunjukkan beliau cukup teliti soal perwatakan dan pakaian mengikut peredaran fesyen ketika itu.
Perdana Menteri berkata, Allahyarham menunjukkan kepimpinannya sebagai seorang pentadbir yang cekap dan berkesan selain bijak membuat pemilihan pegawai bagi menerajui sesuatu agensi.
“Kebolehan Tun Razak adalah memilih orang terbaik untuk mengisi suatu pekerjaan yang secocok dengan seseorang itu, seperti pelantikan Tan Sri Arshad Ayub menerajui Institut Teknologi Mara (ITM) dan juga pelantikan pemimpin seperti Tan Sri GK Rama Ayer dan Datuk Micheal Chen,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Allahyarham seorang pemimpin bersifat institusi kerana berjaya mencetuskan penubuhan ITM yang sekarang menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pernas, Felda, Felcra, Bank Bumiputera dan lain-lain.
“Ini adalah legasi Tun Razak untuk negara,” katanya.
Perlukah kita tetap berdiam diri, satu persatu bukti telah menunjukkan bahawa Dap berusaha untuk menidakkan hak-hak keistimewaan Melayu. Semalam, seorang Ahli Parlimen Dap memansuhkan diskaun bumiputera bagi pembelian hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor disifatkan sebagai satu petanda awal bahawa parti itu sedia menghapuskan semua hak istimewa Melayu sekiranya diberi kuasa memerintah.
Jelas Dap merupakan sebuah parti yang Chauvinist. Jika misi mereka tercapai, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan akan dipinda dan nasib kehidupan orang Melayu bukan sahaja bertambah perit malah kepentingan Islam juga boleh terjejas.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, ”Adakah ini yang kita mahukan? Adakah kita mahu melihat nasib kaum kita seumpama mengemis di tanah air sendiri? Adakah kita mahu melihat Islam sebagai agama kita yang suci ini terjejas?
”Insaflah, sedarlah, lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin Melayu dan pengikut-pengikut mereka yang terlalu seronok bersekongkol dengan Dap. Cuba lihat Singapura apa sudah jadi dengan orang Melayu di sana?,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Hilmi berkata, secara peribadi beliau meminta kumpulan pemimpin Melayu yang sanggup bekerjasama serta bersekongkol dengan Dap supaya segera bermuhasabah.
”Jangan nanti kita menyesal setelah melihat negara ini tergadai kepada kaum lain,” katanya.
Ketika menjawab satu soalan, Mohd. Hilmi turut mengakui cadangan Tony Pua itu akan melebarkan lagi jurang dalam bentuk pegangan ekuiti antara bumiputera khususnya orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
”Umum mengetahui kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain dalam konteks pegangan ekuiti adalah terlalu jauh. Orang Melayu masih lagi ketinggalan. Ini adalah fakta dan bukannya kenyataan kosong.
”Berapa sangat orang Melayu boleh memberi hartanah komersial dan rumah mewah? Saya percaya ia boleh dikira dengan jari. Selama ini pun sejak berpuluh-puluh tahun sistem diskaun pembelian hartanah oleh bumiputera diamalkan tidak pula timbul masalah,” katanya.
Jika dahulu Singapura menjadi contoh terbaik kepada orang-orang Melayu, kini lihat sahaja di Pulau Pinang.
Cuba jenguk nasib orang Melayu di negeri itu. Pelbagai cara dibuat untuk meminggirkan orang kita di sana.