Sultan Azlan Shah: Jangan mainkan isu sensitif libatkan kaum dan agama





Isu sensitif yang menyentuh kaum dan agama sebagai modal politik untuk mendapatkan pengaruh tidak seharusnya dimainkan olah rakyat. Sebaliknya, budaya politik berteraskan kesederhanaan dan perpaduan perlu diamalkan. 

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, kebelakangan ini pandangan sempit bertunjangkan kaum serta pendirian emosional berakarkan agama cuba dihidupkan semula dan perkembangan itu dilihat membahayakan kerana mampu memusnahkan masa depan negara jika tidak dibendung secara bijak.

Titah baginda, isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama memerlukan pendekatan penyelesaian secara bijaksana serta berhikmah.

"Tidak akan berlaku kestabilan politik tanpa perpaduan warga. Tidak akan subur ekonomi tanpa kestabilan politik.
"Banyak negara berakhir dengan anarki, pertumpahan darah, pembunuhan dan kemusnahan apabila isu agama dan kaum dipilih untuk disensasikan," titah baginda.

Titahnya, pemimpin agama hendaklah melaksanakan tugas keagamaan tanpa menyelitkan agenda politik.
"Akan rosaklah agama jika agama mula dicampur adukkan dengan agenda politik. Akibatnya, pengikut kabur, negara hancur, yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu," titah baginda.

YAB DS Dr. Zambry Zambry penerima tunggal Darjah Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Amat Dimulia

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah dianugerah Darjah Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Amat Dimulia (SPSA) sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Sultan Perak.

Anugerah tunggal yang diberikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah kepada Zambry pada istiadat yang berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar itu membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Sementara itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad dianugerahkan Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati (DK).
Pengerusi The New Straits Times Press (NSTP) Malaysia, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri.

Manakala Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat dan Timbalan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) negeri, Dr Naran Singh, antara 54 penerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima DPMP, Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Rauhi Mohd Isa dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Ismail Saffian.

Rakyat harus fahami isu-isu sensitif demi keharmonian negara



Setiap rakyat dan semua pihak di negara ini wajib memahami dan menghormati Islam seterusnya sama sekali tidak mencabar perkara sensitif menyentuh kesucian agama itu bagi memastikan keharmonian negara ini demikian ujar DYMM Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Baginda bertitah, sudah menjadi tanggungjawab kepada setiap umat Islam untuk memelihara akidah dan kesucian Islam kerana ia adalah perkara dasar kepada umat Islam yang perlu dipelihara, dilindungi dan dipertahankan demi memastikan umat Islam terutama generasi mudanya tidak akan terpesong dari pegangan akidah.

"Oleh itu, umat Islam sama sekali tidak dapat mengizinkan sebarang tolak ansur terhadap perkara dan perbuatan yang berpotensi memesongkan akidah. Kesucian Islam wajib dipertahankan dari dinodai oleh sesiapa juga," titahnya ketika merasmikan pembukaan rasmi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 di sini, semalam.

Raja Nazrin bertitah, masjid dan surau adalah pusat ibadah untuk semua umat Islam dan dianggap suci dengan dirujuk sebagai rumah Allah serta wajib dilindungi dari menjadi gelanggang politik berparti yang boleh mencetus perpecahan ummah.

Selain itu, Baginda turut bertitah pegawai dan kakitangan yang diberikan amanah menguruskan urusan Islam dan adat Melayu mempunyai tanggungjawab memelihara kesucian Islam dan kemurnian adat Melayu yang dikekalkan di bawah kuasa mutlak Raja dan berada di atas politik kepartian.

Raja Nazrin juga mengingatkan kerajaan dan penjawat awam agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan sama sekali tidak menyalah gunakan kuasa, mementingkan diri dan ahli keluarga selain mengelakkan rasuah.

Baginda turut memuji usaha berterusan yang dijalankan kerajaan negeri kerana berjaya meningkatkan keyakinan pelabur ke Perak.

"Melalui pelaburan tersebut, 5,396 peluang pekerjaan baru dijangka dapat diwujudkan," titah Baginda.