Penambahbaikan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands...



Kerajaan negeri Perak memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi kerja menambah baik Jalan Cameron Highlands- Simpang Pulai bagi mengelak kemalangan yang telah mengorbankan 28 nyawa pada 21 Disember lalu berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, berkata kerja penambah baikan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin untuk memastikan pengguna berasa selamat melalui laluan itu. Ia dibuat bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan berkenaan disamping memastikan pengguna lebih prihatin dengan faktor keselamatan ketika memandu.

Penambah baikan itu juga merangkumi empat projek iaitu, pemasangan penghadang jalan di bahagian tepi laluan sepanjang 100 meter berdekatan lokasi kemalangan, membina gelus selebar 50 milimeter merintangi jalan raya dari arah Cameron Highlands bagi mewujudkan getaran menghalang kelajuan, melebarkan kawasan selekoh sepanjang 100 meter dengan lebar maksimum dua meter beserta pembinaan parit konkrit baru dan mengecat garisan jalan.

JKR sudah melakukan tujuh langkah segera bagi penambah baikan laluan berkenaan termasuk membaik pulih pembahagi jalan yang pecah sepanjang lima meter, mengecat warna hitam dan kuning di semua permukaan pembahagi jalan konkrit sedia ada dan memasang papan tanda di bahagian atas pembahagi jalan serta papan tanda bersaiz besar.

"Antara yang sudah dilakukan ialah pemasangan papan tanda amaran guna gear rendah, mengecat semula garisan jalan yang pudar dan menghampar silangan bertindih untuk getaran yang lebih berkesan. Selain itu, tiga lampu lampu jalan jenis solar di tepi jalan raya turut dipasang selain menambah bilangan tiang plastik anjal di permulaan pembahagi jalan konkrit sedia ada. Kos kesemuanya dianggarkan melebihi RM100,000," katanya. 

Barisan kepimpinan baru untuk Pemuda Umno dan Pemuda Barisan Nasional di Perak


Rombakan besar-besaran bakal dilakukan dalam barisan kepemimpinan Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional Perak sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Perubahan pertama dilakukan ialah terhadap jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Pengerusi Pemuda BN yang kini disandang Khairul Azwan Harun yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Beliau mengambil alih daripada Maslin Sham Razman yang juga Ketua Pemuda Kuala Kangsar dan pertukaran berkenaan berkuatkuasa pada 4 Januari lalu.

Khairul Azwan berkata, beliau akan mengumumkan rombakan berkenaan dan beberapa perubahan termasuk mengecilkan struktur kepada hanya tujuh atau lapan unit sahaja dalam Pemuda UMNO negeri bagi menjadikannya lebih fokus.

"Rombakan ini bagi memantapkan peranan Pemuda BN dan Pemuda UMNO di Perak dan ia juga mengambil kira peranan untuk memberi tumpuan kepada jentera pilihan raya umum serta sebagai badan pemantau kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan termasuk pelan Perak Amanjaya dalam konteks negeri Perak," katanya.

Khairul Azwan berkata, beliau juga akan mengadakan 'permukiman' yang wajib disertai semua ketua pemuda parti komponen BN negeri dalam masa terdekat bagi merencanakan agenda lebih besar dalam mempersiapkan jentera Pemuda BN Perak dalam menghadapi pilihan raya itu nanti.

Beliau berkata, agenda utama Pemuda BN dan UMNO negeri sekarang ialah untuk memastikan lebih ramai golongan muda terutama kalangan golongan profesional, kolar biru, lepasan pelajar dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai ahli pergerakan itu untuk persediaan menghadapi pilihan raya berkenaan.

Ditanya mengenai cabaran untuk merapatkan hubungan antara kepemimpinan Pemuda bahagian di Perak, Khairul Azwan berkata ia tidak menjadi isu kerana setiap ketua pemuda bahagian saling mengenali antara satu sama lain serta mampu bekerjasama.

"Antara perkara penting yang kita perlu pastikan ialah kita menjalankan setiap aktiviti dengan jayanya dan bukan sekadar syok sendiri dan gagal mencapai matlamat yang mahu dicapai," katanya.

Sementara itu, Maslin Sham akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Exco Pemuda UMNO, juga berkuatkuasa pada 4 Januari.

"Saya belum diberitahu mengenai portfolio saya di peringkat Pemuda Pusat, tetapi saya tetap memberi sepenuh kerjasama kepada pimpinan pergerakan Pemuda UMNO Perak yang baru bagi memastikan misi pergerakan itu untuk memenangi hati rakyat terlaksana," katanya.

Penghargaan kepada Pemain Kelahiran Perak...



Kemeriahan kejayaan menggengam Piala AFF masih lagi menjadi bualan apabila, terkini, Kerajaan Negeri Perak juga tidak ketinggalan dalam memberi penghargaan kepada pemain-pemain kelahiran Perak yang telah membantu mengharumkan nama Malaysia tempohari.

3 pemain tersebut ternyata membuka mata masyarakat bahawa Perak juga tidak ketinggalan dalam melahirkan pemain-pemain muda yang berbakat bagi arena bola sepak negara. Mohd Safee Sali menerima, Mohd Sabre Abu dan Mohamad Fadhli Mohd Shas akan menerima 'penghargaan' sebanyak RM5,000 seorang serta tambahan RM5,000 kepada Mohd Safee Sali di atas kejayaan menjadi penjaring terbanyak sepanjang kempen Piala AFF 2010.

YAB DS Dr. Zambry Abd Kadir berkata, sumbangan yang diberikan adalah bagi menghargai kejayaan mereka mengharumkan Malaysia. Pemberian sumbangan tersebut mungkin akan dibuat dalam satu majlis khas