Pembangkang Terus Buat Spekulasi!!!


Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) minggu ini bertujuan menilai prestasi wakil rakyat dan mendapat maklum balas rakyat terhadap kepimpinan kerajaan dan bukannya menentukan tarikh Pilihan Raya Umum akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata demikian mengulas mengenai pertemuan permukiman atau 'retreat' Perdana Menteri bersama Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) yang bakal diadakan minggu ini yang disifatkan kononnya sebagai persiapan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, pertemuan itu perkara biasa dilakukan Perdana Menteri untuk menilai prestasi wakil rakyat dan mendapat maklumat mengenai maklumbalas rakyat terhadap kepimpinan kerajaan selain membincangkan pelbagai isu lain.

"Sebenarnya, Perdana Menteri mengamalkan prinsip "checklist" sebab beliau sentiasa menerima maklumat daripada rakyat," katanya.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata, tahun lalu Perdana Menteri juga mengadakan program serupa dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN seluruh negara.

"Justeru, tidak timbul sebarang isu mengatakan pertemuan itu mempunyai sebarang tujuan mengenai penetapan pilihan raya umum," katanya.

Bagaimanapun katanya, BN Perak tetap bersedia pada bila-bila masa jika Perdana Menteri membuat keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum dalam tempoh terdekat.

"Dalam politik, kita tidak perlu takut dengan pilihan raya. Kita sudah diingatkan bila-bila masa saja kerajaan boleh mengisytiharkan tarikh pilihan raya. Apa yang penting ialah persiapan dalam menghadapinya kerana mahu tidak mahu pilihan raya tetap akan diadakan," katanya.

Aplikasikan Gagasan 1 Malaysia!!!


Seluruh masyarakat disarankan agar menjadikan tahun baru 2011 sebagai azam untuk mengaplikasikan Gagasan 1Malaysia yang sememangnya menjadi landasan dalam mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berkata, sejak kemerdekaan negara dicapai pada tahun 1957 hingga kini dengan teras utama yang menjadi pegangan dalam mengekalkan keutuhan dan keamanan sehingga negara mampu mencapai taraf model contoh di persada antarabangsa adalah kerana adanya muafakat dan persefahaman.
“Kita bersyukur kerana diberi kesempatan untuk terus mengecap nikmat ini dan kita perlu terus memastikan apa yang kita ada hari ini akan terus dipertingkat agar bukan saja kita semua tetapi negara kita juga mampu terus membangun dalam suasana sejahtera,” katanya.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut meminta masyarakat Malaysia agar terus berfikiran optimis dan positif dalam segala hal yang mencakupi pelbagai perspektif kehidupan.
“Apabila kita sebut 1Malaysia, kita dapat menggambarkan bahawa di bawah payung dan naungan gagasan 1Malaysia, kita dapat memupuk satu semangat baru di kalangan rakyat Malaysia dan semangat ini adalah berdasarkan kepada satu sikap yang amat penting yang mendasari gagasan 1Malaysia ini, yakni konsep atau pun sikap penerimaan keseluruhan, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.”
Katanya, kemajmukan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini bukan saja dilihat sebagai satu keunikan tetapi ia juga adalah terjemahan kepada kekuatan untuk semua.
“BN dan UMNO bukan sekadar parti politik yang sentiasa mahukan kemenangan dalam pilihan raya tetapi kita juga mahukan kemenangan dalam menjuari kehidupan rakyat,” katanya.
Justeru gesa beliau lagi, apa saja yang berlaku pada tahun 2010 perlu dijadikan pedoman dengan yang baik dijadikan tauladan dan buruk dijadikan sempadan.
“Semoga dengan kedatangan tahun 2011, kita akan dapat menanamkan azam baru dan bersama menyemarakkan 1Malaysia. Selamat tahun baru 2011.”

DS Tengku Adnan Tengku Mansor ~ Senarai Baru Kukuhkan Parti


Sebagaimana yang kita sedia maklum, semalam telah diumukan senarai terbaru Kepimpinan UMNO di peringkat negeri yang diyakini mampu mengukuhkan kedudukan parti dalam menarik lebih ramai sokongan rakyat menjelang PRU-13.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebagai contoh pelantikan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis serta Kedah.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai kelebihan dan pengaruh masing-masing di kalangan masyarakat akar umbi di kedua-dua negeri berkenaan.
”Pucuk pimpinan parti percaya dengan kewibawaan kedua-dua pemimpin ini. Mukhriz misalnya mempunyai pengaruh untuk meraih lebih banyak sokongan pengundi muda terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) di Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pelantikan semula pengerusi dan timbalan pengerusi UMNO negeri di Ibu Pejabat UMNO semalam.
Beliau sebelum itu ditanya mengenai keputusan pucuk pimpinan UMNO melantik Shahidan dan Muhkriz sebagai Timbalan Pengerusi Badan UMNO di Perlis serta Kedah.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan Shahidan, Tengku Adnan berkata, selain mempunyai pengalaman bekas Menteri Besar Perlis itu mempunyai kelebihan untuk berganding dengan Md. Isa bagi memantapkan lagi kedudukan UMNO di negeri berkenaan.
”Saya yakin gandingan kedua-dua pemimpin ini akan memberi impak yang berkesan kepada kekuatan UMNO di Perlis,” katanya lagi.
Begitu juga beliau berkata, dengan pelantikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta Datuk Zainal Abidin Osman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Pulau Pinang.
Berhubung keputusan untuk mengekalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Selangor serta Wilayah Persekutuan Tengku Adnan berkata, kepimpinan UMNO di kedua-dua negeri itu masih memerlukan kepimpinan dua pemimpin utama negara berkenaan.
Mengenai pengguguran tiga Naib Presiden sebagai pengerusi UMNO di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang Tengku Adnan berkata, langkah tersebut adalah sejajar dengan kehendak ahli akar umbi.
Selain itu katanya, ia juga adalah sebagai langkah terbaik untuk ketiga-tiga naib presiden berkenaan menumpukan perhatian kepada tugas-tugas hakiki iaitu berdasarkan kepada biro masing-masing.
”Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah diberi tanggungjawab mengendalikan biro latihan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula merupakan pengerusi tatatertib dan pindaan perlembagaan manakala Datuk Seri Mohd. Sahfie Apdal adalah pengerusi biro keahlian.
”Dengan tidak memegang jawatan pengerusi ketiga-tiga Naib Presiden ini akan dapat menumpukan kepada tugas-tugas yang telah dipertanggungjawabkan,” ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, pucuk pimpinan parti mengarahkan supaya semua perhubungan UMNO negeri mengadakan mesyuarat sekali dalam tempoh dua bulan.
”Mereka juga telah diminta memberi laporan-laporan terus kepada presiden,” katanya lagi.