Kukuhkan perpaduan dengan mengamalkan sikap keterbukaan dan kefahaman mengenai agama lain


Sikap keterbukaan dan kefahaman terhadap agama kaum lain dapat merupakan faktor penting dalam menangani isu perpaduan dengan berkesan dan komprehensif. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Datuk Dr Mah Hang Soon bagaimanapun berkata ini hanya boleh dicapai melalui penganjuran forum-forum agama. 

Katanya forum agama dapat dijadikan sebagai platfom perbincangan matang bagi masyarakat terutama generasi muda untuk memahami anutan agama yang berbeza. 

"Melalui forum seperti ini kita dapat membincangkan dan menyalurkan maklumat berkenaan isu semasa dengan lebih tepat dan sahih agar tidak mengelirukan sesiapa demi memelihara perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia yang telah kekal sekian lama 

"Program seperti ini juga bukanlah untuk menaikkan sentimen atau menghangatkan lagi suasana dan sesuatu isu tetapi sebagai tempat untuk mewujudkan pemikiran positif dan rasional terhadap antara kaum berbilang agama," katanya.

UMNO akan timbang semua sudut berkenaan kerusi Parlimen Gerik



Dalam memastikan semangat kerjasama dalam Barisan Nasional (BN) tetap utuh, UMNO akan menimbang dari semua sudut sebelum memutuskan samada untuk mengambil kembali kerusi Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 demikian ujar YAB DS Dr Zambry Abd Kadir.  Sehubungan dengan itu, semua faktor akan ditimbang sebelum mengambil kerusi itu kerana kepentingan BN ialah mengambil kira semua faktor termasuk faktor persekitaran dan sokongan rakyat.

Parlimen Gerik kini diwakili oleh Datuk Tan Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang mewakili Parti Gerakan.

Kerusi Parlimen Gerik sebelum ini menjadi milik UMNO tetapi diserahkan kepada Gerakan pada PRU ke-12.

Pada 7 November lalu, Parti Gerakan berkata ia akan mengenal pasti dan memperkenalkan calon-calon parti itu bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas Tahun Baru Cina tahun depan.

Sehubungan itu, Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, Gerakan telah melancarkan jentera parti untuk menjelajah ke seluruh negara sejak empat bulan lalu bagi bertemu dan mendengar suara hati pemimpin negeri dan peringkat akar umbi berhubung kedudukan politik semasa setiap negeri.

YAB DS Dr Zambry berkata, BN perlu menimbang semua perkara termasuk mengambil kira sokongan rakyat.
 
*BPUNPk juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berangkat ke Tanah Suci kepada YAB DS Dr Zambry Abd Kadir dan keluarga serta rombongan. Semoga dikurniakan keselamatan, kesihatan dan mudah-mudahan memperolehi haji yang Mabrur.

SPR perlu tegas bendung budaya politik ganas semasa pilihan raya


DS DR Zambry Abd Kadir berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengenakan tindakan tegas terhadap parti yang bertindak keterlaluan di luar batasan undang-undang. Ia perlu bagi mengelak sebarang suasana panas hingga menyebabkan kecelaruan dan keadaan tegang.

"Insiden seperti kekecohan yang berlaku di Galas termasuk membaling botol dan memukul tidak seharusnya dibiarkan berlaku," katanya. 

Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional Perak bersetuju dengan cadangan SPR yang mahu melaksanakan tempoh bertenang 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari bagi membendung kekecohan dan keganasan di kalangan penyokong parti bertanding.

"Selain memasukkan peraturan baru, SPR perlu juga menguatkuasakan undang-undang sedia ada supaya parti bertanding mengikut peraturan yang telah ditetapkan," katanya. 

Jelas beliau lagi SPR wajar mengenakan hukuman seperti penalti berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya parti bertanding masih enggan mematuhi peraturan. 

"Namun kita juga faham SPR mungkin berdepan dengan kekurangan kakitangan. Kita harapkan bahagian pelaksana dapat memastikan parti bertanding bertanggungjawab untuk menjaga kelakuan penyokong mereka,"katanya. 

Katanya pilihan raya kecil Batu Sapi merupakan contoh terbaik apabila setiap parti yang bertanding boleh duduk bersama dalam suasana yang tenang dan saling menghormati. 

Baru-baru ini SPR mencadangkan peraturan tempoh bertenang 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari antara intipati kandungan kepada pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 untuk membendung kekecohan dan keganasan oleh penyokong parti bertanding.