RM9 juta untuk laksana rancangan pencegahan banjir di Perak

Kerajaan Perak akan melaksanakan rancangan pencegahan banjir bernilai RM9 juta di negeri ini tidak lama lagi dengan tumpuan diberikan kepada kawasan Hulu Perak dan Kerian.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata peruntukan tersebut yang diperolehi daripada Pejabat Perdana Menteri itu merupakan perbelanjaan bagi membiayai pelan jangka pendek untuk mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Katanya Hulu Perak dan Kerian telah dikenal pasti antara kawasan yang memerlukan tindakan segera berikutan kejadian banjir buruk yang sering melanda di kawasan tersebut.

"Peruntukan RM9 juta itu melibatkan kerja-kerja mendalam sungai selain membina dan membaiki pembentung bagi mengalirkan air yang bertakung di kawasan rendah di ke sungai. Kita juga memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli pam air baru bagi menggantikan yang lama terutama bagi menangani masalah banjir di Bagan Datoh termasuk membina ban kawasan itu," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata masalah banjir di Perak tidak akan berakhir sehinggalah ada satu rancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh.

"Maka, kerajaan negeri sedang membuat perancangan ke arah tersebut. Namun, halangan kita mungkin dari segi peruntukan kerana kita telah menganggarkan sejumlah RM300 juta diperlukan bagi melaksanakan rancangan jangka ini," katanya.

Katanya rancangan jangka panjang banjir itu melibatkan pembinaan aliran alternatif kepada Sungai Kerian bagi laluan air untuk sampai ke laut.

"Keadaan topografi Kerian yang merupakan kawasan lembah menyebabkan pergerakan air Sungai Kerian begitu perlahan untuk sampai ke laut. Faktor ini merupakan punca air sungai Kerian begitu cepat melimpah apabila tiba musim hujan," katanya. 

30 SAR di Sungai Siput terima bantuan komputer


Tahniah buat Kerajaan negeri Perak apabila melangkah setapak lagi kehadapan dalam merealisasikan visi ‘Masyarakat Berpengetahuan' atau K-Society dengan pengagihan bantuan komputer dan komputer riba ke sekolah - sekolah agama rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah merasmikan pelancaran pengagihan komputer kepada SAR dengan penyerahan 50 buah komputer kepada 30 SAR di sekitar Sungai Siput.

Majlis penyerahan tersebut berlangsung di SK Kampung Jawang sempena program turun padang dua hari Menteri Besar ke kawasan Sungai Siput.

Setiap sekolah masing-masing akan menerima dua komputer dan satu komputer riba ketika sesi lawatan Zambry ke kawasan terbabit.

Selain bantuan komputer, setiap SAR terbabit juga disediakan dengan kemudahan internet yang mencukupi.
Bantuan komputer itu adalah sumbangan KPerak INC Corporation yang dipertanggungjawabkan untuk melaksana dan menjayakan inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Strategik ICT Perak.

Ianya juga merupakan satu lagi program yang dilaksanakan KPerak untuk mempromosi celik komputer terutamanya kepada penduduk luar bandar.

Dalam ucapannya, Zambry berkata pendekatan kerajaan pada hari ini ialah membantu menyelesaikan masalah rakyat miskin yang memerlukan bantuan tanpa mengira latarbelakang politik yang mereka amalkan.

Katanya, kerajaan tidak akan mempedulikan sebarang tohmahan yang dilemparkan oleh mana-mana pihak sebaliknya akan terus mencari jalan terbaik untuk membawa kesejahteraan hidup kepada rakyat.


Perak laksana pemantauan ketat bendung aktiviti pengambilan pasir haram


Kerajaan negeri sentiasa melakukan pemantauan yang ketat mengikut undang-undang sedia ada bagi mengekang aktiviti pengambilan pasir secara haram di Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Katanya kesungguhan kerajaan negeri dalam menjalankan penguatkuasaan dapat dilihat berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri di mana satu kes pengambilan pasir secara haram telahpun dibawa ke mahkamah manakala sebanyak 97 kes lagi yang melibatkan pelanggaran syarat permit pengambilan pasir telah diambil tindakan.

Katanya kerajaan negeri juga tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak termasuk penjawat awam yang didapati terlibat dengan aktiviti pengambilan pasir haram di negeri ini.
"Kita tidak akan bertolak ansur (terhadap mana-mana pihak) lebih-lebih lagi jika ia ada melibatkan pegawai dan kakitangan kerajaan.

"Setiap kes itu akan dinilai mengikut merit masing-masing berdasarkan prosedur dan undang-undang yang ada. Tindakan menukar (pegawai dan kakitangan terlibat) sahaja tidak cukup. Ini tidak akan menyelesaikan masalah.

"Jika kita dapati ada berlaku penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, ada undang-undang yang boleh kita ambil terhadap mereka ini," katanya selepas membuat lawatan kerja ke Pejabat Tanah dan Galian Negeri, di Ipoh.

Zambry diminta mengulas Laporan Audit 2009 mengenai prestasi PTG Negeri yang menyatakan bahawa aktiviti pengambilan pasir secara keseluruhannya, adalah tidak memuaskan kerana berlaku banyak kes perlanggaran syarat yang ditetapkan jabatan.

Laporan itu turut menyarankan penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap aktiviti pengambilan pasir perlu dijalankan supaya tidak berlaku impak serius terhadap alam sekitar dan berlaku ketirisan hasil kerajaan negeri.
"Kita tidak salahkan laporan audit. Apa yang dimaksudkan adalah kita perlu ada tindakan yang lebih tersusun. Sememangnya pengeluaran pasir menjadi satu masalah kerajaan negeri termasuklah Perak. "Pemantauan agak sukar dilakukan lebih-lebih lagi Perak sebuah negeri yang besar," katanya.

Zambry berkata kerajaan negeri kini sedang dalam proses mengenalpasti kaedah-kaedah pengurusan pengambilan pasir yang lebih sesuai bagi menggantikan prosedur yang sedia ada.

"Prosedur yang ada merupakan satu kaedah proaktif berkesan dalam mengawal pengambilan pasir pada satu ketika dahulu sehingga Perak mendapat pengiktirafan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) sebagai antara negeri yang mempunyai pengurusan pasir terbaik.

"Namun, dengan perkembangan semasa, kaedah ini mungkin sudah tidak lagi sesuai. Maka kita perlukan satu kaedah baru terutama daripada segi tindakan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan supaya operasi pengambilan pasir secara haram tidak terus berleluasa," katanya.