Sah BN,PKR dan SAPP saja tanding di Batu Sapi manakala di Galas BN dan PAS


Sah hanya BN,PKR dan SAPP sahaja bertanding di PRK pilihanraya Batu Sapi bila tempoh serah borang pencalonan tamat jam 10 pagi.  Di Galas pula hanya BN dan PAS sahaja.
Diberitakan proses penamaan calon di kedua-dua kerusi Parlimen Batu Sapi di Sandakan Sabah dan di Galas, Gua Musang, Kelantan berjalan lancar.  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengetuai perarakan 10,000 orang mengiringi calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin. 

Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail ketuai 300 penyokong iringi calon Ansari Abdullah manakala calon Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee diiringi oleh 50 penyokong ke dewan penamaan calon. 

Di Galas,Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Pengarah Pilihanraya Tengku Razaleigh Hamzah ketuai 3,000 penyokong BN iringi calon Aziz Yusoff.  Mereka tiba di dewan penamaan calon jam 9.06 pagi. 

Calon PAS Dr Zulkifli Mohamad pula tiba di dewan jam 9.25 pagi diiringi oleh Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang dan Naib Presiden PKR Azmin Ali.

Program turun padang PM dan TPM bakal cepatkan proses mengembalikan sokongan terhadap BN

Langkah yang diambil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertemu rakyat dalam siri program turun padang ke seluruh negara akan mempercepatkan proses mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata selain merapatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat, ianya juga memberi peluang kepada pemimpin negara melihat sendiri permasalahan rakyat.

"Ianya juga dapat memperkukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN dan parti pemerintah," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat India sempena sambutan Hari Deepavali di Pulau Pangkor.

Pada majlis anjuran MIC Cawangan Pangkor itu, seramai 55 warga emas dan golongan miskin menerima sumbangan berupa duit dan barangan keperluan harian daripada Zambry yang juga ADUN Pangkor.

Mengulas tanggapan bahawa program turun padang tersebut menunjukkan tanda-tanda pilihan raya umum (PRU) ke-13 semakin hampir, beliau yang juga Pengerusi BN Perak, berkata BN Perak telah lama bersiap sedia.

"Kita sudah memastikan BN Perak dalam keadaan bersiap sedia dan saya rasa kita tidak akan menghadapi sebarang masalah jika pilihan raya diumumkan pada bila-bila masa," katanya.

Sekolah Agama Rakyat di Perak akan dibekalkan kemudahan ICT



Semua Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Perak akan dibekalkan dengan komputer dan perkakasan ICT dalam usaha kerajaan memastikan pelajar sekolah itu tidak terpinggir daripada arus perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah tersebut yang akan dilaksanakan oleh KPerak INC Corporation (KPerak) bertujuan membantu SAR tidak ketinggalan daripada arus literasi dengan membekalkan kemudahan ICT yang diperlukan.

Katanya KPerak akan bertanggungjawab mengenal pasti kesemua SAR yang memerlukan sumbangan komputer dan perkakasan ICT itu.

Jelas beliau lagi kerajaan negeri memperuntukkan bajet yang bersesuaian untuk memastikan program tersebut berjalan dengan lancar bagi kebaikan dan manfaat pelajar SAR di negeri ini.

"Program pembestarian SAR ini amat diperlukan khususnya di sekolah-sekolah pedalaman bagi memastikan jurang digital di kalangan rakyat Perak dapat dikecilkan selain membantu meningkatkan kadar penembusan Internet di negeri ini," katanya.

Program ini akan dilancarkan pada 27 Oktober ini sempena lawatan Zambry ke Sungai Siput (U) dengan majlis penyampaian sumbangan komputer sebanyak 50 buah kepada 25 SAR sekitar daerah itu.