IPOH, 4 Ogos – Pakatan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak gagal dalam rancangan mereka untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa pembentangan usul perbekalan tambahan akan menambah jumlah defisit dalam Bajet 2010 sebanyak RM104 juta.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata niat buruk pembangkang yang diketuai Adun Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk menghentam kerajaan BN atas alasan Perak akan berada dalam keadaan defisit yang sangat kritikal, tidak kesampaian apabila beliau membuktikan Perak akan mencapai bajet seimbang bagi tahun 2010.
“Mereka terkejut kerana perbelanjaan tambahan itu langsung tidak ‘mengusik’ rizab sebanyak RM800 juta yang dimiliki kerajaan negeri. Oleh itu rancangan mereka untuk menjatuhkan (kredibiliti kerajaan) tidak menjadi kenyataan.
“Maka mereka (pembangkang) terpaksa mengalih perhatian dengan menjadikan sidang DUN semalam sebagai pentas ceramah politik,” katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Speaker Datuk R.Ganesan yang mengarah keluar dan menggantung Mohammad Nizar daripada menghadiri sidang DUN semalam kerana mencetuskan kekecohan dan berkelakuan haru-biru.
Zambry berkata sangkaan pembangkang bahawa kerajaan negeri akan menyebabkan Perak mencatatkan rekod defisit tertinggi dalam sejarah ternyata meleset setelah pembentangan sumber perbelanjaan tambahan RM80 juta bagi bajet 2010 dibuat semasa sesi soal jawab.
Katanya kesemua Adun pembangkang dilihat mempamerkan rasa terkejut apabila diberitahu sumber perbelanjaan itu adalah daripada lebihan perolehan hasil sebanyak RM117 juta yang berjaya dikutip kerajaan negeri sehingga 31 Julai lepas.
Beliau meminta wakil rakyat pembangkang supaya tidak sewenang-wenangnya melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri tanpa disokong fakta yang benar.
“Kita tidak berbohong apabila kita bentangkan bahawa kerajaan negeri memperoleh lebihan pendapatan sebanyak RM117 juta. Angka ini direkodkan dan ia melibatkan wang rakyat,” katanya.
Zambry berkata selain mengamalkan pengurusan kewangan yang cekap, lebihan pendapatan itu adalah pendapatan luar jangka yang diterima kerajaan negeri hasil bayaran premium tanah oleh Kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat.
Ketika membentangkan usul perbekalan tambahan 2010 di sidang DUN semalam, Menteri Besar berkata RM30 juta daripada RM80 juta perbelanjaan tambahan yang dipohon akan dibelanjakan bagi tujuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat manakala RM50 juta lagi bagi pelaburan menambah hasil negeri.
Perolehan tambahan yang berjaya dikutip itu juga akan digunakan kerajaan negeri untuk menghapuskan RM23.8 juta defisit yang diunjurkan dalam Bajet 2010. -Bernama
Tingkat 5 & 6, Bangunan UMNO Perak, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, 30250, Ipoh, Perak
DUN Perak Lulus Bajet Tambahan - 3 Ogos 2010
Usul yang dibawa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, itu diluluskan dengan undi semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Bebas.
DS Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) digantung kerana menganggu perbahasan serta mengingkari perintah Speaker. Kesemua ADUN pembangkang juga bertindak keluar dewan.
Semasa membentangkan usul berkenaan, Dr Zambry berkata sejumlah RM30 juta akan dibelanjakan bagi program kesejahteraan rakyat dan menangani masalah kemiskinan, pembangunan infrastruktur serta program peningkatan sosioekonomi penduduk bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, sebanyak RM50 juta pula akan digunakan bagi melaksanakan aktiviti pelaburan secara lebih berkesan dan berupaya memberi pulangan yang signifikan.
“Wang tersebut akan dilaburkan secara berhemat dalam pelaburan terpilih yang akan diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.
“Adalah dijangkakan pelaburan tersebut akan menghasilkan pulangan lebih tinggi berbanding simpanan tetap yang secara purata pada 2.5 hingga 3 peratus pada masa ini,” katanya.
Beliau berkatta, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan hasil negeri selepas bajet 2010 diramalkan defisit sebanyak RM23.89 juta.
“Usaha bersungguh-sungguh dan bersepadu oleh semua pihak terbabit telah menyaksikan hasil negeri meningkatkan dengan ketara, berbanding unjuran bajet 2010 dan setakat Julai tahun ini, kerajaan negeri memperoleh pertambahan sebanyak RM117.26 juta daripada bayaran premium tanah serta lain-lain.
“Oleh kerana kerajaaan negeri kini memperoleh hasil yang bertambah sebanyak RM117.26 juta, maka wajar direncanakan penggunaan wang tersebut secara pembangunan bagi merangsang pertumbuhan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri juga akan mengkhususkan sebanyak RM23.89 juta bagi menghapuskan defisit yang diramal.
Pada sidang akhbar selepas itu, beliau menjelaskan bajet tambahan yang diluluskan itu dibuat tanpa menyentuh wang rizab kerajaan negeri.
Katanya, pertambahan hasil sebanyak RM117.26 juta itu adalah pendapatan luar biasa daripada hasil yang tidak dijangkakan.
“Kita ada duit berlebihan dan Bajet 2011 akan dibuat beberapa bulan lagi, jadi apa kita nak buat dengan duit pendapatan luar biasa ini…ia tidak dijangka dalam bajet 2010 yang lalu, tetapi kita telah berjaya mendapat hasil tambahan sebanyak RM117.26 juta,” katanya.
Dr Zambry berkata, mengikut asas perakaunan, lebihan itu digunakan untuk mengimbangi defisit RM23 juta dalam Bajet 2010 manakala bakinya bagi meningkatkan ekonomi.
Mengenai tindakan ADUN pembangkang keluar Dewan, beliau berkata ia perbuatan biadap dan tidak menghormati Speaker.
Terdahulu, semasa perbahasan, Datuk Hamdi Abu Bakar (BN-Pengkalan Baru) berkata pembangkang memutarbelitkan fakta apabila mendakwa bajet tambahan itu akan menyebabkan defisit lebih besar.
“Mereka (pembangkang) perlu didikan dengan maklumat yang tepat…oleh kerana kerajaan negeri mempunyai kemampuan, iaitu pendapatan tambahan, dan keperluan, iaitu untuk perbelanjaan sasaran kepada rakyat, ia adalah usaha demi kebajikan rakyat,” katanya.
Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) pula berkata langkah menggunakan pendapatan tambahan itu pada tahun ini juga adalah langkah terbaik kerana masih banyak kawasan luar bandar, terutama perkampungan tradisi dan Orang Asli, yang tidak dilengkapi bekalan air serta elektrik.
Beliau juga berkata, tindakan keluar Dewan oleh pembangkang yang memboikot persidangan itu adalah pengkhianatan kepada rakyat kerana ia adalah tempat paling sesuai membincangkan masalah mereka.
Sidang DUN Perak kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Pasukan Khas Daftar Pemilih
Penubuhan Pasukan Khas ini akan dibentuk di bawah pimpinan Ketua Bahagian dan berperanan dalam memastikan setiap individu yang dianggap layak untuk didaftarkan sebagai pemilih sama ada untuk kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) didaftarkan.
Penubuhan Pasukan Khas ini juga dilihat penting kerana jumlah pengundi yang berjaya didaftarkan oleh BN adalah sedikit berbanding dengan jumlah yang dicatatkan oleh pembangkang walaupun pelbagai inisitif dilakukan. Pembangkang dilihat tidak berhenti dari berusaha menambah daftar pemilih dan bilangan yang berjaya didaftarkan meningkat setiap bulan.
Usaha menubuhkan Pasukan Khas ini juga dilihat lebih berkesan dalam menambah bilangan pendaftaran pemilih. Selain itu juga, kerjasama dari semua pemimpin di setiap bahagian dan cawangan mengambil perhatian dalam soal pendaftaran pemilih dan pengundi bagi memastikan matlamat menambahkan jumlah pendaftaran tercapai.
Perlantikan penolong pendaftar pemilih oleh SPR di kalangan pemimpin yang dipilih di peringkat bahagian juga akan memudahkan lagi usaha pasukan khas yang bakal ditubuhkan dalam misinya menambah bilangan pendaftar.
Subscribe to:
Posts (Atom)

