PROGRAM MB PERAK BERSAMA RAKYAT HILIR PERAK

Bertempat di daerah Hilir Perak, YAB DS Dr Zambry Abd Kadir telah meluangkan masa untuk bermesra dengan rakyat. Program yang dijalankan ini juga berjaya membuktikan bahawa MB Perak kita ini seorang pemimpin berjiwa rakyat.










Rally 1 Malaysia


Kuala Lumpur, 8 Jun – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata lebih 15,000 pergerakan itu yang mewakili pelbagai parti komponen bersama pertubuhan bukan kerajan (NGO) dan golongan belia akan membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil, Sabtu ini bagi menyertai Rally 1Malaysia.
Menurut beliau, program berkenaan bukan saja pentas untuk menyatupadukan golongan belia di negara ini tetapi untuk menyatakan sokongan padu kepada Gagasan 1Malaysia.

“Rally 1Malaysia bakal menterjemahkan semangat 1Malaysia melalui kesedaran mengenai keunikan budaya satu sama lain yang tidak sama sekali melunturkan keseragaman aspirasi belia Malaysia.
“Kehadiran orang ramai membabitkan rakyat pelbagai kaum akan menyuntik semangat perpaduan lebih jitu antara belia seluruh negara, sejajar dengan hasrat 1Malaysia,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, dan Ketua Pemuda MIC, T Mohan.
Khairy seterusnya berkata perhimpunan yang dijadualkan pada 12 tengah hari itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi BN.
“Kemuncak kepada acara Rally 1Malaysia itu adalah pelancaran program Jelajah 1Malaysia (JOM). JOM adalah satu program turun padang oleh Pemuda BN bagi mendekati masyarakat seluruh negara bagi merasai denyut nadi mereka di samping bersama-sama melaksanakan pelbagai program yang diyakini dapat merealisasikan hasrat 1Malaysia.

“Pada majlis itu juga, sebuah bas JOM yang akan membawa Pemuda BN menjelajah seluruh negara akan turut dilancarkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

72% Rakyat Puas Hati Prestasi Najib – Merdeka Centre


KUALA LUMPUR 8 Jun – Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak meningkat 72 peratus bulan lepas berbanding 69 peratus pada April lalu, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre yang dikeluarkan hari Selasa.


Bancian yang dijalankan dari 6 hingga 16 Mei itu menyaksikan tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan 58 peratus oleh kaum Cina.
Peningkatan tahap kepuasan hati itu adalah yang tertinggi sejak Merdeka Centre menjalankan kaji selidik untuk meninjau populariti Najib sejak Mac tahun lalu, iaitu hanya 44 peratus ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa itu.

Menurut Merdeka Centre, sejumlah 1,028 rakyat Malaysia dibanci melalui telefon dan hampir separuh atau 47 peratus daripada responden terdiri daripada golongan tidak bekerja.

Ketika kajian itu dijalankan, beberapa peristiwa dalam negara turut mempengaruhi keputusan antaranya pilihan raya kecil Sibu, kes Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis, pembatalan perhimpunan 13 Mei yang dianjurkan oleh Gertak serta pengumuman lesen perjudian bola sepak.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 50 peratus responden yakin bahawa Najib dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun terhadap inisiatif yang dilakukan beliau iaitu gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Sekali lagi kaum India merupakan responden tertinggi yang menyatakan keyakinan tersebut dengan 65 peratus, diikuti Melayu (60 peratus) manakala kaum Cina hanya 30 peratus sahaja yang yakin dengan sasaran Najib itu.

Kajian juga mendapati sebanyak 52 peratus responden bersetuju bahawa negara kini sedang menuju ke arah yang betul kerana 21 peratus memberi sebab bahawa ekonomi negara kian pulih dan kualiti kehidupan rakyat semakin meningkat.

Bagaimanapun, sebanyak 22 peratus responden berpendapat bahawa kerajaan perlu menyelesaikan isu ekonomi seperti kenaikan kos hidup dan harga barangan, pengangguran, dan kekurangan bekalan gula.
Sebanyak 63 peratus responden berpuas hati dengan kualiti pendidikan di negara ini manakala 56 peratus pula berpuas hati terhadap usaha kerajaan meningkatkan tahap kecekapan pengangkutan awam di bandar seperti di Kuala Lumpur. – Bernama