Permohonan didengar panel 11 hakim ditolak

Permohonan Nizar Jamaluddin supaya rayuannya membantah perlantikan Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata ia diputuskan sebulat suara dan tiada perintah dibuat mengenai kosnya.

Keputusan rayuan Nizar, akan menentukan masa depan Pakatan Rakyat Perak yang ditumbangkan Februari lalu selepas beberapa wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).Ia juga bukan sahaja akan menentukan Menteri Besar Perak yang sah tetapi juga akan menjadi duluan bagi kes-kes yang serupa pada masa depan.

Panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.

Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas.

Kerajaan Perpaduan Penuhi Tuntutan Agama, Bukan Politik: Kata Najib

UMNO sanggup bekerjasama dengan Pas ke arah membentuk kerajaan perpaduan bagi memenuhi tuntutan agama dan bukan berdasarkan politik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata idea kerajaan perpaduan merupakan perkara yang baik dan justeru itu, Umno sanggup mengadakan rundingan itu dengan Pas.

“Kita mempunyai pendirian jelas bahawa asalkan untuk kebaikan, kita sanggup mengadakan rundingan. Ia bukan semestinya kita terikat tangan atas apa-apa persetujuan.

“Kita hendak cari sesuatu yang baik…sesuatu yang baik adalah tuntutan agama. Umno membuat sesuatu itu bukan berdasarkan politik tetapi tuntutan agama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Najib diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lepas bahawa isu kerajaan perpaduan mahu pun cadangan bekerjasama dengan Umno “tidak lagi wujud dalam kamus” Pas.

Abdul Hadi juga berkata cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan dikemukakan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Mengenai kenyataan Abdul Hadi yang beliau tidak tahu sikap pemimpin Umno sekarang berhubung idea kerajaan perpaduan itu, Najib berkata pendirian Umno jelas iaitu jika sesuatu perkara itu memberi kebaikan, ia sanggup mengadakan rundingan dengan Pas.

“Saya tidak tahu apa pendirian Pas sebenar. Kalau nak jelas (mengenai perkara itu), kena tanya mereka (pemimpin Pas),” kata Perdana Menteri

Kelantan Dapat Wang Ehsan Minyak

Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantarkan surat kepada Perdana Menteri mengenai tuntutan bayaran royalti 5 peratus, yang berjumlah RM1 bilion, hasil petroleum dan gas cecair di perairan Kelantan.

Kerajaan negeri membuat tuntutan itu tahun ini setelah mengetahuinya melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 sehingga kini.