Semua pemimpin harus bersifat adil demi kesejahteraan rakyat





Seseorang pemimpin yang diamanahkan mentadbir tidak harus mempunyai sifat pilih kasih dan membezakan rakyat, demikian menurut YAB DS Dr. Zambry Abd Kadir.

Menurut beliau, pemimpin yang baik harus mempunyai sifat kasih sayang menggunung kepada rakyat sekali gus menyemai suasana harmoni di kalangan masyarakat.

"Paling utama pemimpin harus melaksanakan kerja dan tanggungjawab dengan berkesan dan bukan menghabiskan masa dengan hanya bercakap atau menghina orang lain.

"Percakapan semata-mata tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada rakyat, dan kerana itu adalah lebih baik kita melaksanakan kerja daripada menghabiskan masa bercakap," katanya.

Katanya, atas sebab itulah kerajaan negeri Barisan Nasional sentiasa berusaha memastikan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik mendapat kehidupan selesa.

Kemenangan di DUN Kerdau dan Merlimau hasil strategi ampuh Barisan Nasional




Pendekatan meletakkan calon yang 'winnable' membuktikan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi pilihan raya kecil di DUN Merlimau, Melaka, dan DUN Kerdau, Pahang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagaimanapun, mengingatkan parti itu tidak boleh selesa dengan kemenangan berkenaan, sebaliknya lebih bersedia menghadapi cabaran lebih besar pada pilihanraya umum akan datang.
"Saya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua calon atas kemenangan ini. Kesungguhan Datuk Seri (Mohd) Ali (Rustam)dan Datuk Seri Adnan (Yaakob) wajar dipuji.
"Pemilihan calon yang 'winnable' meskipun di luar hierarki parti membuktikan hasilnya. Namun, pelbagai usaha perlu terus dibuat supaya BN terus diyakini rakyat," katanya.
Katanya, kejayaan yang dikecapi tidak seharusnya melena dan mengasyikkan BN, sehingga alpa dengan gelombang (pilihan raya umum) lebih besar.
"Tanggapilah kejayaan ini dengan keinsafan dan teruskan berdoa kepada Allah memohon pertolongan dan hidayahNya agar BN terus diyakini rakyat untuk menempa kejayaan dalam pilihan raya ke-13," katanya.
Keputusan pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan calon BN, Roslan Ahmad, 44, menang ke atas calon PAS, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi, manakala calon BN di DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, menumpaskan lawannya juga dari PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi.

Cabar Peruntukan, Letak Jawatan MB Jika Tidak Bangga Jadi Melayu???




TEMERLOH, 3 Mac – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sepatutnya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya tidak berbangga menjadi bangsa Melayu yang dianggapnya sebagai satu kebetulan.
Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata demikian kerana peruntukan perlembagaan Negeri Kelantan menetapkan bahawa jawatan tersebut mestilah disandang oleh seorang yang berbangsa Melayu.
“Saya melihat kenyataannya bukanlah sesuatu yang dibuat bersifat serius sebaliknya ia adalah lebih kepada mainan politik untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu semata-mata,” katanya.
Sebelum ini, kenyataan Nik Aziz yang mengatakan bahawa beliau tidak minta untuk dilahirkan sebagai seorang berbangsa Melayu dan ia adalah secara kebetulan beliau lahir di negara ini.
Mengikut peruntukkan dalam Fasal 12, Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan menjelaskan bahawa seseorang yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar mestilah seorang yang berbangsa Melayu, rakyat Kelantan dan beragama Islam.
“Justeru itu, kenyataan Nik Aziz yang tidak berbangga jadi Melayu adalah satu kenyataan yang secara tidak langsung mencabar peruntukan Negeri Kelantan kerana jika beliau bukan Melayu sudah tentulah beliau tidak akan menjadi Menteri Besar di Kelantan selama 20 tahun,” katanya kepada UMNO-Online.
Jelas beliau, peruntukan yang ada secara jelas menunjukkan bahawa pelantikan untuk jawatan Menteri Besar dan Timbalannya hanya mencakupi ke atas orang Melayu sahaja.
“Jika betul tidak bangga jadi Melayu kenapa tidak letakkan sahaja jawatannya sebagai pentadbir negeri atau serahkan jawatan Menteri Besar itu kepada Anwar Tan iaitu Exco Kerajaan Negeri yang bukan berbangsa Melayu.
Nik Abdul Aziz berkata demikian sebagai reaksi balas kepada kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta beliau bersyukur dilahirkan sebagai bangsa Melayu yang tentunya beragama Islam. – MediaUMNO.

TPM - BN Mampu Peroleh Kejayaan Berganda di Merlimau dan Kerdau


TONGOD (SABAH), 3 Mac – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh kejayaan berganda pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan DUN Merlimau berdasarkan kebangkitan transformasi politik dalam BN.
Menurutnya pada pilihan raya kecil sebelum ini di DUN Galas, Parlimen Batu Sapi dan DUN Tenang, beliau melihat satu peningkatan dari segi majoriti undi kemenangan BN.
“Apa maknanya ini, maknanya ini sudah ada satu kebangkitan baru pertamanya dari segi transformasi politik dalam BN.
“Pimpinan BN tidak berdiam diri dengan apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2008 dan selepas itu kita dapat mesej daripada rakyat, mesej itu kamu jangan duduk goyang kaki, kamu kena turun ke bawah dan bantu saya (rakyat) dengan dibuat bersungguh-sungguh,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Dividen Ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas Tongod di sini hari ini.
Proses pengundian pilihan raya kecil DUN Kerdau di Pahang dan Merlimau di Melaka diadakan pada Ahad ini.
Beliau berkata semua mesej rakyat itu telah digerakkan oleh BN yang merupakan proses transformasi politik dan dijalankan seiring dengan transformasi ekonomi.
“Maka meningkat sokongan rakyat dari satu pilihan raya kecil ke satu pilihan raya kecil. Saya yakin dan InsyaAllah, dengan doa kita semua BN sekali lagi boleh mencipta kemenangan berganda, dua kejayaan serentak seperti di DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi dalam beberapa bulan lalu.
“Ini menunjukkan rakyat masih bersama kita dan kami sentiasa memikirkan cara macam mana menyelesaikan masalah rakyat seperti yang telah kita lakukan dan akan terus kita laksanakan,” katanya.
Muhyiddin berkata proses pembangunan masih berlaku dan tidak akan berhenti walau sedetik pun.
Katanya ia merupakan tanggungjawab besar dan proses pelaksanaan pembangunan itu akan mengambil masa.


Pas Parti Songsang, Berselindung Di Sebalik Agama


KERDAU, 3 Mac – Sikap Pas yang sering bersembunyi di sebalik agama semata-mata demi kepentingan politik mula disedari oleh pengikut Pas. Ini terbukti apabila seorang ahli fanatik Pas, Rashid Wahab akhirnya mengambil tindakan keluar dari Parti itu pada tahun 2001 setelah menghambakan diri pada parti tersebut selama 22 tahun.
Setelah keluar daripada parti Pas di Terengganu, beliau mengambil keputusan untuk menjadi penceramah politik bertujuan menyedarkan pengikut Pas mengenai parti Pas yang telah songsang.
“Kebanyakan pengikut Pas sebenarnya telah dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin Pas. Contohnya macam saya yang kurang pengetahuan agama, bila seorang alim ulama, seorang ustaz datang kepada kita, sudah tentulah kita mudah terpengaruh.
“Kononnya untuk berjuang demi agama Islam. Haruslah diingat bahawa ia boleh merosakkan akidah barang siapa mengatakan Pas itu Islam dan Islam itu Pas. Islam adalah satu agama yang suci dan bukan parti.
Terangnya, ketika menyertai Pas, beliau dan rakan-rakannya semua membawa amanat Haji Hadi iaitu mengkafirkan orang-orang UMNO sehingga sanggup mengkafirkan ayah dan bapa mertuanya sendiri.
“Malah saya pernah ditahun dibawah akta ISA sebanyak tiga kali kerana membawa senjata. Kononnya berjuang untuk Islam. Saya bersyukur telah diberi hidayah dan tidak terus di tipu oleh Pas,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengikut Pas sebenarnya telah di tipu dan Pas telah memesongkan pengikutnya dengan fahaman acuannya sendiri.
“Pengikut Pas sebenarnya tidak dapat membezakan yang mana satu parti dan yang mana satu agama. Selama menyertai Pas selama 22 tahun, barulah saya sedar, Pas dan Islam adalah berbeza. Di sinilah pengikut Pas keliru sedangkan agama itu adalah agama dan Pas adalah sebuah parti. Kononnya berjuang kerana agama Islam.
“Pas menggunakan agama. Dalam ajaran Pas, dalam usrah dan ceramahnya, Pas sering mengelirukan pengikutnya dengan cerita-cerita keislaman dan zaman Rasurullah. Jadi pengikut Pas terasa berjuang untuk Islam, bukan Pas kononnya menegakkan agama Islam,” terang Rashid.
Menyingkap punca dia mengambil keputusan keluar Pas, katanya, kesedaran mula timbul apabila Pas mula bertindak zalim terhadap kanak-kanak di Terengganu.
“Pas mengeluarkan satu arahan supaya kanak-kanak tadika yang belajar di balai raya milik kerajaan negeri di keluarkan. Kemudian, saya mula terfikir semua tindak tanduk Pas yang tidak betul. Janji-janji kosong Pas termasuklah hal hudud. Apabila di desak mengenai kes hudud, jawapan yang diberi hudud ini dalam hanya satu perdua ribu sahaja dalam Islam.
“Bukan itu sahaja, pada tahun 80-an, kepincangan Pas mula timbul tapi saya masih tidak sedar. Ajaran syiah telah masuk di dalam Pas. Ketika itu, wakil dari syiah Iran, mahu 150 orang Pemuda Pas untuk di bawa menunaikan haji melalui kerajaan Iran. Mereka yang pergi pada tahun 1986, syiah ini membuat satu reformasi di sana untuk merampas kaabah. Di situlah pemuda Pas bersama-sama berjuang untuk merampas Kaabah.
“Saya bertanya kepada pemimpin Pas, macam mana sekarang ini bila ajaran syiah sudah menular di dalam parti Pas. Anda tahu jawapannya? Syiah syiah pun, Islam juga. Kalau UMNO tu bukan Islam. Jadi Pas memberi fahaman, Pas itu Islam, Islam itu Pas,” terangnya lagi.
Beliau turut menjelaskan, jika dahulu Pas di Terengganu mengharamkan solat di masjid yang dibina oleh kerajaan, kononnya solat tidak sah, tetapi apabila Pas memerintah di Terengganu, segalanya berubah. Masjid yang dahulunya haram digunakan, telah boleh digunakan.
“Bukan itu sahaja, malah terlalu banyak penipuan Pas. Sebab itu saya mengambil keputusan keluar dari parti itu dan bergerak bebas untuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai tentang Pas dan akhirnya saya telah berjaya membawa hampir 27,000 pengikut Pas untuk meninggalkan pasti tersebut.
“Saya tidak akan berhenti di sini. Selagi ada nyawa, selagi itu saya akan terus menyedarkan orang ramai tentang Pas yang songsang,” katanya kepada UMNO-Online. – MediaUMNO