Kemenangan di DUN Kerdau dan Merlimau hasil strategi ampuh Barisan Nasional




Pendekatan meletakkan calon yang 'winnable' membuktikan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi pilihan raya kecil di DUN Merlimau, Melaka, dan DUN Kerdau, Pahang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagaimanapun, mengingatkan parti itu tidak boleh selesa dengan kemenangan berkenaan, sebaliknya lebih bersedia menghadapi cabaran lebih besar pada pilihanraya umum akan datang.
"Saya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua calon atas kemenangan ini. Kesungguhan Datuk Seri (Mohd) Ali (Rustam)dan Datuk Seri Adnan (Yaakob) wajar dipuji.
"Pemilihan calon yang 'winnable' meskipun di luar hierarki parti membuktikan hasilnya. Namun, pelbagai usaha perlu terus dibuat supaya BN terus diyakini rakyat," katanya.
Katanya, kejayaan yang dikecapi tidak seharusnya melena dan mengasyikkan BN, sehingga alpa dengan gelombang (pilihan raya umum) lebih besar.
"Tanggapilah kejayaan ini dengan keinsafan dan teruskan berdoa kepada Allah memohon pertolongan dan hidayahNya agar BN terus diyakini rakyat untuk menempa kejayaan dalam pilihan raya ke-13," katanya.
Keputusan pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan calon BN, Roslan Ahmad, 44, menang ke atas calon PAS, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi, manakala calon BN di DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, menumpaskan lawannya juga dari PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi.

No comments:

Post a Comment