DS Najib Tun Razak - Kerajaan Tidak Lupa Generasi Akan Datang Dalam Merangka Dasar


PUTRAJAYA 19 Ogos – Kerajaan tidak pernah melupakan generasi akan datang dalam setiap dasar yang dirangka dan program yang dilaksanakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan berazam untuk meninggalkan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi akan datang berbanding yang diwarisi daripada pemimpin terdahulu.

“Begitulah komitmen kerajaan pada hari ini. Kami lakukan semua ini untuk generasi akan datang dan hari ini saya berbuka puasa dengan wajah-wajah masa depan Malaysia,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di kediaman rasminya Seri Perdana, di sini Khamis.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya sebagai generasi penyambung dan generasi penerus, mereka merupakan golongan yang akan mendapat keuntungan dan manfaat daripada setiap dasar, gagasan dan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Najib berkata antara dasar dan program yang telah dibentangkan ialah gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Kumpulan sasar yang akan mendapat manfaat yang paling besar, bukan golongan yang bukan sudah berumur atau mereka yang sedang bekerja tetapi mereka yang bakal menjadi pemimpin, menjadi golongan profesional yang keluar daripada IPT dan mereka yang tidak dapat masuk universiti, sekurang-kurangnya mendapat kemahiran,” katanya.

Katanya mereka merupakan generasi yang akan mendapat manfaat daripada perubahan dan transformasi yang besar kepada landskap negara yang sedang dilakukan pada hari ini. “Jika setiap daripada anda yang keluar daripada IPT mahu mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan, jika mahu menjamin kualiti hidup yang menjadi jangkaan, dan jika mahu hidup dalam sebuah negara yang semakin aman dan makmur pada masa depan, maka segala usaha mesti bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata semua itu merupakan tanggungjawab dan sebab itu kerajaan tidak putus-putus berusaha untuk membuat perubahan agar berada pada barisan hadapan.

“Inilah sebabnya kita sedang memperjuangkan transformasi besar kepada negara. Mudah-mudahan dengan sokongan anda, kita akan sampai kepada matlamat yang diharapkan. “Umpamanya dalam menguruskan ekonomi negara, kita telah berjaya untuk mencapai kadar pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini dan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini,” katanya. – BERNAMA

Perlembagaan Baru : Perbuatan yang Serius!!!


LUMUT, 16 Ogos – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan dakwaan bahawa ada pihak telah menyediakan “perlembagaan baru” bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan sebagai perkara yang perlu dipandang serius.

“Ini isu yang cukup besar dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada Fakir Miskin, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Pulau Pangkor pada hari Isnin.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang mendakwa mengenai wujudnya “perlembagaan baru” yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Menteri Besar bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu sehingga berpeluang membaca sendiri dokumen yang dikatakan itu. -Bernama

Perlembagaan Baru?


IPOH, 15 Ogos – Mengejutkan! Sudah ada ‘perlembagaan baru’ dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kemakmuran negara selama ini.


Perkara tersebut didedahkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semasa menjadi panel Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Taman Budaya di sini, hari ini.
Menurut Harussani, perlembagaan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Saya dimaklumkan sekarang sudah ada perlembagaan baru yang dibuat oleh pihak tertentu.
”Kebetulan saya ada memberi satu ceramah di Alor Setar. Ada seseorang datang dan memberikan saya tiga buah buku Perlembagaan yang dikehendaki pihak tertentu,” katanya pada wacana tersebut di sini, hari ini.

Bagaimanapun Harussani ketika ditemui selepas wacana tersebut enggan mengulas lanjut tentang dakwaannya itu.

Selain Harussani, program itu turut disertai Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Presiden Pertubuhan Pemikir Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar dan Naib Pengerusi Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Hafiz Nordin.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula bertindak sebagai perantara program berkenaan.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli GMP, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak dan aktivis Melayu termasuk Tan Sri Jins Shamsuddin hadir pada program anjuran GMP dan GPMS itu.

Pada wacana itu juga, Harussani berkata, perpecahan di kalangan orang Melayu menyebabkan bangsa itu hilang kewibawaan sehingga kaum lain semakin berani membuat pelbagai tuntutan dan mahu hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan.

”Kenapa kita berpecah-belah hanya kerana salah tafsir iaitu melampau dalam berpegang pada syariat Islam.
”Saya menyuruh kita semua bersatu, saya tidak suruh hapuskan parti tetapi saya minta orang Melayu pertahankan Islam dan hak-hak mereka,” katanya yang banyak menerima cemuhan daripada penyokong pembangkang kerana mengajak orang Melayu dan Islam bersatu.

Sementara itu, Hafiz yang merupakan bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang bimbang dengan nasib yang menimpa orang Melayu di Pulau Pinang sekarang.

Jelas beliau, begitu banyak gerai perniagaan orang Melayu yang didirikan di atas tanah kerajaan dirobohkan tetapi tindakan sama tidak diambil ke atas peniaga bukan Melayu yang berniaga di atas jalan raya.

”Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak membenarkan rumah bernilai RM150,000 ke bawah dibina di tengah bandar. Pulau Pinang kini ke arah menjadi Singapura.

”Jambatan kedua Pulau Pinang yang menjadi kebanggaan kita akan memudahkan pengusiran orang Melayu secara beramai-ramai dari Pulau Pinang,” katanya.

Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO pula meminta orang Melayu menentang habis-habisan ‘Abdullah Ibn Saba’ yang memecahbelahkan umat Islam di Malaysia sekarang.

”Dalam setiap tamadun manusia mesti ada pengkhianatan yang menghancurkan perpaduan. Kalau zaman Khalifah Usman dan Ali dulu ada Abdullah Ibn Saba yang melaga-lagakan umat Islam, zaman sekarang pun ada ‘Abdullah Ibn Saba’ yang menyebabkan perpecahan orang Melayu dan Islam di Malaysia,” katanya. -MediaUMNO/UtusanM

3 Program Utama dan 4M perlu aktif!


Datuk Ahmad Maslan selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia, mengingatkan agar jentera penerangan parti seluruh negara terus mengaktifkan tiga program utama jentera berkenaan di samping memperhebatkan penggunaan pendekatan 4M.

Tiga program utama itu kata beliau ialah melaksanakan program Juara Rakyat, Ceramah Juara Rakyat dan SPSB iaitu sekurang-kurangnya satu penerangan, satu program, satu bahagian. Pendekatan 4M pula melibatkan Media Bersemuka, Media Cetak, Media Elektronik dan Media Maya.

Umum mengetahui bahawa tiga program utama itu sebenarnya telah pun digerakkan namun ia perlu bergerak aktif lagi. Ia perlu agar kefahaman tentang dasar-dasar kerajaan bukan sahaja diberi kepada rakyat sebaliknya turut perlu menangkis apa saja fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang.






ADUN Pembangkang Menipu!!!


Kesal melihat tindakan ADUN Pakatan yang bertindak keluar dari dewan ketika ia sedang berlangsung Selasa lalu. Itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pergerakan pemuda UMNO Perak. Tindakan keluar dewan bukan saja merupakan satu tindakan yang biadap tetapi turut melihat kegagalan ADUN Pembangkang melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kepada DUN yang diwakili.

Tindakan itu sepatutnya tidak berlaku kerana sidang DUN adalah platfom untuk menyuarakan suara rakyat.
Alasan mereka tidak dibenarkan bercakap adalah bohong semata-mata! Malah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sendiri diberi ruang hampir 30 minit untuk membahaskan pembentangan belanjawan tambahan. Maka seharusnya, alasan ini tidak digunakan untuk keluar dewan. 

Ini adalah suatu pembohongan seperti memfitnah Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan kerajaan negeri kononnya belanjawan negeri akan mengalami defisit sebanyak RM103 juta. Jelas sekali, belanjawan 2010 adalah belanjawan yang seimbang.

Malah hasil kecekapan kerajaan BN telah membolehkan Perak mendapat pendapatan lebihan sebanyak RM117 juta. Ini petanda kerajaan BN berjaya melaksana amanah rakyat dan tidak seperti pembangkang yang dikuasai oleh DAP yang tak berhenti-henti menjadi PEMBOHONG RAKYAT!

Rancangan Pembangkang Temui Kegagalan

IPOH, 4 Ogos – Pakatan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak gagal dalam rancangan mereka untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa pembentangan usul perbekalan tambahan akan menambah jumlah defisit dalam Bajet 2010 sebanyak RM104 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata niat buruk pembangkang yang diketuai Adun Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk menghentam kerajaan BN atas alasan Perak akan berada dalam keadaan defisit yang sangat kritikal, tidak kesampaian apabila beliau membuktikan Perak akan mencapai bajet seimbang bagi tahun 2010.

“Mereka terkejut kerana perbelanjaan tambahan itu langsung tidak ‘mengusik’ rizab sebanyak RM800 juta yang dimiliki kerajaan negeri. Oleh itu rancangan mereka untuk menjatuhkan (kredibiliti kerajaan) tidak menjadi kenyataan.

“Maka mereka (pembangkang) terpaksa mengalih perhatian dengan menjadikan sidang DUN semalam sebagai pentas ceramah politik,” katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Speaker Datuk R.Ganesan yang mengarah keluar dan menggantung Mohammad Nizar daripada menghadiri sidang DUN semalam kerana mencetuskan kekecohan dan berkelakuan haru-biru.

Zambry berkata sangkaan pembangkang bahawa kerajaan negeri akan menyebabkan Perak mencatatkan rekod defisit tertinggi dalam sejarah ternyata meleset setelah pembentangan sumber perbelanjaan tambahan RM80 juta bagi bajet 2010 dibuat semasa sesi soal jawab.

Katanya kesemua Adun pembangkang dilihat mempamerkan rasa terkejut apabila diberitahu sumber perbelanjaan itu adalah daripada lebihan perolehan hasil sebanyak RM117 juta yang berjaya dikutip kerajaan negeri sehingga 31 Julai lepas.

Beliau meminta wakil rakyat pembangkang supaya tidak sewenang-wenangnya melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri tanpa disokong fakta yang benar.

“Kita tidak berbohong apabila kita bentangkan bahawa kerajaan negeri memperoleh lebihan pendapatan sebanyak RM117 juta. Angka ini direkodkan dan ia melibatkan wang rakyat,” katanya.

Zambry berkata selain mengamalkan pengurusan kewangan yang cekap, lebihan pendapatan itu adalah pendapatan luar jangka yang diterima kerajaan negeri hasil bayaran premium tanah oleh Kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat.

Ketika membentangkan usul perbekalan tambahan 2010 di sidang DUN semalam, Menteri Besar berkata RM30 juta daripada RM80 juta perbelanjaan tambahan yang dipohon akan dibelanjakan bagi tujuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat manakala RM50 juta lagi bagi pelaburan menambah hasil negeri.

Perolehan tambahan yang berjaya dikutip itu juga akan digunakan kerajaan negeri untuk menghapuskan RM23.8 juta defisit yang diunjurkan dalam Bajet 2010. -Bernama

DUN Perak Lulus Bajet Tambahan - 3 Ogos 2010


Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam meluluskan usul perbelanjaan tambahan sebanyak RM80 juta pada mesyuarat kedua penggal ketiga yang berlangsung di sini.

Usul yang dibawa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, itu diluluskan dengan undi semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Bebas.

DS Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) digantung kerana menganggu perbahasan serta mengingkari perintah Speaker. Kesemua ADUN pembangkang juga bertindak keluar dewan.

Semasa membentangkan usul berkenaan, Dr Zambry berkata sejumlah RM30 juta akan dibelanjakan bagi program kesejahteraan rakyat dan menangani masalah kemiskinan, pembangunan infrastruktur serta program peningkatan sosioekonomi penduduk bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, sebanyak RM50 juta pula akan digunakan bagi melaksanakan aktiviti pelaburan secara lebih berkesan dan berupaya memberi pulangan yang signifikan.

“Wang tersebut akan dilaburkan secara berhemat dalam pelaburan terpilih yang akan diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.

“Adalah dijangkakan pelaburan tersebut akan menghasilkan pulangan lebih tinggi berbanding simpanan tetap yang secara purata pada 2.5 hingga 3 peratus pada masa ini,” katanya.

Beliau berkatta, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan hasil negeri selepas bajet 2010 diramalkan defisit sebanyak RM23.89 juta.

“Usaha bersungguh-sungguh dan bersepadu oleh semua pihak terbabit telah menyaksikan hasil negeri meningkatkan dengan ketara, berbanding unjuran bajet 2010 dan setakat Julai tahun ini, kerajaan negeri memperoleh pertambahan sebanyak RM117.26 juta daripada bayaran premium tanah serta lain-lain.

“Oleh kerana kerajaaan negeri kini memperoleh hasil yang bertambah sebanyak RM117.26 juta, maka wajar direncanakan penggunaan wang tersebut secara pembangunan bagi merangsang pertumbuhan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri juga akan mengkhususkan sebanyak RM23.89 juta bagi menghapuskan defisit yang diramal.

Pada sidang akhbar selepas itu, beliau menjelaskan bajet tambahan yang diluluskan itu dibuat tanpa menyentuh wang rizab kerajaan negeri.

Katanya, pertambahan hasil sebanyak RM117.26 juta itu adalah pendapatan luar biasa daripada hasil yang tidak dijangkakan.

“Kita ada duit berlebihan dan Bajet 2011 akan dibuat beberapa bulan lagi, jadi apa kita nak buat dengan duit pendapatan luar biasa ini…ia tidak dijangka dalam bajet 2010 yang lalu, tetapi kita telah berjaya mendapat hasil tambahan sebanyak RM117.26 juta,” katanya.

Dr Zambry berkata, mengikut asas perakaunan, lebihan itu digunakan untuk mengimbangi defisit RM23 juta dalam Bajet 2010 manakala bakinya bagi meningkatkan ekonomi.

Mengenai tindakan ADUN pembangkang keluar Dewan, beliau berkata ia perbuatan biadap dan tidak menghormati Speaker.

Terdahulu, semasa perbahasan, Datuk Hamdi Abu Bakar (BN-Pengkalan Baru) berkata pembangkang memutarbelitkan fakta apabila mendakwa bajet tambahan itu akan menyebabkan defisit lebih besar.

“Mereka (pembangkang) perlu didikan dengan maklumat yang tepat…oleh kerana kerajaan negeri mempunyai kemampuan, iaitu pendapatan tambahan, dan keperluan, iaitu untuk perbelanjaan sasaran kepada rakyat, ia adalah usaha demi kebajikan rakyat,” katanya.

Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) pula berkata langkah menggunakan pendapatan tambahan itu pada tahun ini juga adalah langkah terbaik kerana masih banyak kawasan luar bandar, terutama perkampungan tradisi dan Orang Asli, yang tidak dilengkapi bekalan air serta elektrik.

Beliau juga berkata, tindakan keluar Dewan oleh pembangkang yang memboikot persidangan itu adalah pengkhianatan kepada rakyat kerana ia adalah tempat paling sesuai membincangkan masalah mereka.
Sidang DUN Perak kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Pasukan Khas Daftar Pemilih

 
DS Najib Tun Razak mengarahkan setiap Bahagian UMNO agar menubuhkan pasukan khas daftar pemilih bagi memastikan mereka yang layak untuk mengundi didaftarkan sebagai pemilih. TS Muhyiddin Yassin berkata, ia merupakan arahan terkini dari DS Najib Tun Razak sebelum berangkat ke luar negara.

Penubuhan Pasukan Khas ini akan dibentuk di bawah pimpinan Ketua Bahagian dan berperanan dalam memastikan setiap individu yang dianggap layak untuk didaftarkan sebagai pemilih sama ada untuk kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) didaftarkan.

Penubuhan Pasukan Khas ini juga dilihat penting kerana jumlah pengundi yang berjaya didaftarkan oleh BN adalah sedikit berbanding dengan jumlah yang dicatatkan oleh pembangkang walaupun pelbagai inisitif dilakukan. Pembangkang dilihat tidak berhenti dari berusaha menambah daftar pemilih dan bilangan yang berjaya didaftarkan meningkat setiap bulan.

Usaha menubuhkan Pasukan Khas ini juga dilihat lebih berkesan dalam menambah bilangan pendaftaran pemilih. Selain itu juga, kerjasama dari semua pemimpin di setiap bahagian dan cawangan mengambil perhatian dalam soal pendaftaran pemilih dan pengundi bagi memastikan matlamat menambahkan jumlah pendaftaran tercapai.


  Perlantikan penolong pendaftar pemilih oleh SPR di kalangan pemimpin yang dipilih di peringkat bahagian juga akan memudahkan lagi usaha pasukan khas yang bakal ditubuhkan dalam misinya menambah bilangan pendaftar.