DS Najib Tun Razak - Kerajaan Tidak Lupa Generasi Akan Datang Dalam Merangka Dasar


PUTRAJAYA 19 Ogos – Kerajaan tidak pernah melupakan generasi akan datang dalam setiap dasar yang dirangka dan program yang dilaksanakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan berazam untuk meninggalkan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi akan datang berbanding yang diwarisi daripada pemimpin terdahulu.

“Begitulah komitmen kerajaan pada hari ini. Kami lakukan semua ini untuk generasi akan datang dan hari ini saya berbuka puasa dengan wajah-wajah masa depan Malaysia,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di kediaman rasminya Seri Perdana, di sini Khamis.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya sebagai generasi penyambung dan generasi penerus, mereka merupakan golongan yang akan mendapat keuntungan dan manfaat daripada setiap dasar, gagasan dan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Najib berkata antara dasar dan program yang telah dibentangkan ialah gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Kumpulan sasar yang akan mendapat manfaat yang paling besar, bukan golongan yang bukan sudah berumur atau mereka yang sedang bekerja tetapi mereka yang bakal menjadi pemimpin, menjadi golongan profesional yang keluar daripada IPT dan mereka yang tidak dapat masuk universiti, sekurang-kurangnya mendapat kemahiran,” katanya.

Katanya mereka merupakan generasi yang akan mendapat manfaat daripada perubahan dan transformasi yang besar kepada landskap negara yang sedang dilakukan pada hari ini. “Jika setiap daripada anda yang keluar daripada IPT mahu mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan, jika mahu menjamin kualiti hidup yang menjadi jangkaan, dan jika mahu hidup dalam sebuah negara yang semakin aman dan makmur pada masa depan, maka segala usaha mesti bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata semua itu merupakan tanggungjawab dan sebab itu kerajaan tidak putus-putus berusaha untuk membuat perubahan agar berada pada barisan hadapan.

“Inilah sebabnya kita sedang memperjuangkan transformasi besar kepada negara. Mudah-mudahan dengan sokongan anda, kita akan sampai kepada matlamat yang diharapkan. “Umpamanya dalam menguruskan ekonomi negara, kita telah berjaya untuk mencapai kadar pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini dan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini,” katanya. – BERNAMA

Perlembagaan Baru : Perbuatan yang Serius!!!


LUMUT, 16 Ogos – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan dakwaan bahawa ada pihak telah menyediakan “perlembagaan baru” bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan sebagai perkara yang perlu dipandang serius.

“Ini isu yang cukup besar dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada Fakir Miskin, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Pulau Pangkor pada hari Isnin.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang mendakwa mengenai wujudnya “perlembagaan baru” yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Menteri Besar bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu sehingga berpeluang membaca sendiri dokumen yang dikatakan itu. -Bernama

Perlembagaan Baru?


IPOH, 15 Ogos – Mengejutkan! Sudah ada ‘perlembagaan baru’ dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kemakmuran negara selama ini.


Perkara tersebut didedahkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semasa menjadi panel Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Taman Budaya di sini, hari ini.
Menurut Harussani, perlembagaan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Saya dimaklumkan sekarang sudah ada perlembagaan baru yang dibuat oleh pihak tertentu.
”Kebetulan saya ada memberi satu ceramah di Alor Setar. Ada seseorang datang dan memberikan saya tiga buah buku Perlembagaan yang dikehendaki pihak tertentu,” katanya pada wacana tersebut di sini, hari ini.

Bagaimanapun Harussani ketika ditemui selepas wacana tersebut enggan mengulas lanjut tentang dakwaannya itu.

Selain Harussani, program itu turut disertai Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Presiden Pertubuhan Pemikir Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar dan Naib Pengerusi Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Hafiz Nordin.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula bertindak sebagai perantara program berkenaan.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli GMP, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak dan aktivis Melayu termasuk Tan Sri Jins Shamsuddin hadir pada program anjuran GMP dan GPMS itu.

Pada wacana itu juga, Harussani berkata, perpecahan di kalangan orang Melayu menyebabkan bangsa itu hilang kewibawaan sehingga kaum lain semakin berani membuat pelbagai tuntutan dan mahu hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan.

”Kenapa kita berpecah-belah hanya kerana salah tafsir iaitu melampau dalam berpegang pada syariat Islam.
”Saya menyuruh kita semua bersatu, saya tidak suruh hapuskan parti tetapi saya minta orang Melayu pertahankan Islam dan hak-hak mereka,” katanya yang banyak menerima cemuhan daripada penyokong pembangkang kerana mengajak orang Melayu dan Islam bersatu.

Sementara itu, Hafiz yang merupakan bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang bimbang dengan nasib yang menimpa orang Melayu di Pulau Pinang sekarang.

Jelas beliau, begitu banyak gerai perniagaan orang Melayu yang didirikan di atas tanah kerajaan dirobohkan tetapi tindakan sama tidak diambil ke atas peniaga bukan Melayu yang berniaga di atas jalan raya.

”Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak membenarkan rumah bernilai RM150,000 ke bawah dibina di tengah bandar. Pulau Pinang kini ke arah menjadi Singapura.

”Jambatan kedua Pulau Pinang yang menjadi kebanggaan kita akan memudahkan pengusiran orang Melayu secara beramai-ramai dari Pulau Pinang,” katanya.

Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO pula meminta orang Melayu menentang habis-habisan ‘Abdullah Ibn Saba’ yang memecahbelahkan umat Islam di Malaysia sekarang.

”Dalam setiap tamadun manusia mesti ada pengkhianatan yang menghancurkan perpaduan. Kalau zaman Khalifah Usman dan Ali dulu ada Abdullah Ibn Saba yang melaga-lagakan umat Islam, zaman sekarang pun ada ‘Abdullah Ibn Saba’ yang menyebabkan perpecahan orang Melayu dan Islam di Malaysia,” katanya. -MediaUMNO/UtusanM