Pemuda Umno buat laporan polis bantah tindakan hina Yang di-Pertuan Agong

Satu laporan polis dibuat terhadap setiausaha akhbar Ahli Parlimen Ipoh Barat, P. Sugumaran, yang membuat kenyataan dianggap menghina dalam ruangan Twitter miliknya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat Syamsul Baharin Putra Ahmad Syibi menyifatkan perbuatan Sugumaran mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam Twitter itu biadap dan sebagai menderhaka.

"Kami kesal dengan perbuatan itu dan isu ini perlu ditangani sebaik mungkin. Ini (kenyataan itu) membuktikan satu lagi ancaman kepada negara.

"Titah yang dinyatakan Seri Paduka bukan bertujuan politik, sebaliknya menasihatkan rakyatnya supaya hidup dalam keadaan aman serta sejahtera," katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan berbunyi 'Alat Terbaru politik BN, Agong bertitah mengikut kehendak @najibrazak' dikeluarkan susulan daripada titah Tuanku Mizan Zainal Abidin kelmarin yang meminta rakyat memastikan tuntutan demokrasi tidak membawa kemusnahan kepada negara.

Selain Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik lain turut membuat laporan polis termasuk Gerakan Belia 4B Cawangan Ipoh Barat, Gerakan Bina Bangsa Melayu Kinta, Badan Penasihat Ayahanda Insan Malaysia dan Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak.

Ahli UMNO Diingatkan Jauhi Politik Fraksi



Ahli UMNO diingatkan agar menjauhkan diri dari politik fraksi atau berpecah-pecah kerana ia sememangnya boleh menjejaskan prestasi parti. YAB DS Najib Tun Razak berkata, politik fraksi semestinya menjejaskan prestasi sesebuah parti itu menjelang pilihan raya dan untuk itu juga, apabila sampai masa untuk pilihan raya kepentingan parti mengatasi kepentingan yang lain. 
Perdana Menteri berkata amalan yang bersifat jatuh-menjatuhkan sesama sendiri itu perlu dielakkan, sebaliknya meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu, mengatasi kepentingan peribadi dan kepentingan tertentu.
Najib berkata amalan negatif itu bukan saja berlaku dalam UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, tetapi juga dalam parti pembangkang di mana setiap kali adanya pemilihan parti, perkara itu sering kali akan timbul.
“Ia bukan saja ada dalam UMNO tapi termasuk juga pembangkang. Bila ada pemilihan secara terbuka dan ada perbezaan pendapat dalam parti politik yang amalkan kefahaman demokrasi, maka akan timbullah keadaan tertentu di mana pelbagai kumpulan yang bersikap demikian di peringkat akar umbi,” katanya.
Presiden UMNO itu berkata setiap ahli parti perlu memberikan sokongan mereka kepada calon yang dipilih parti dengan mengetepikan sikap negatif mereka terhadap calon berkenaan, dan tidak mengambil kesempatan untuk menjatuhkannya.
“Kalau parti sudah pilih sesiapa jadi calon, semua orang mesti sokonglah walaupun kita mungkin tidak minat dia secara peribadi sebab dia merupakan   calon telah dipilih oleh parti, jadi kalau ada sikap sedemikian dan kita dapat mengelakkan daripada perkara jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain, maka kita akan berjaya dalam pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, semasa berucap, Najib berkata proses muhasabah dalam parti amat penting bagi memperbetulkan kesilapan yang berlaku pada pilihan raya umum lalu dapat diperbaiki untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak.
Hasil muhasabah itu, katanya berupaya memberikan kekuatan dan keyakinan baru yang boleh meningkatkan prestasi pada pilihan raya umum akan datang.
“Kita mahu bangkit daripada mimpi ngeri pada 2008 (kekalahan beberapa negeri kepada pembangkang), kita bangkit semula dengan kekuatan yang kita sendiri tak terfikir boleh dicapai, maknanya kalau lakukan muhasabah diri dan bergerak dalam satu pasukan dan letakkan parti mengatasi segala-galanyanya maka parti kita akan berjaya,” katanya.

Wanita UMNO mahu tindakan keras diambil bagi cegah perhimpunan BERSIH 2.0 dan Anti BERSIH



Tindakan keras seharusnya diambil bagi mencegah perhimpunan Bersih 2.0 serta ANTI Bersih yang akan diadakan Julai depan. Ketua Penerangannya, Datuk Hamidah Osman berkata, tindakan sedemikian perlu bagi mencegah berlakunya pertembungan yang boleh mengakibatkan satu pertelingkahan yang besar di kalangan rakyat.

Katanya, kesemua 1.3 juta ahli Wanita UMNO yang cintakan keamanan dan kedamaian tidak bersetuju dengan tindakan beberapa pihak dalam mengadakan perhimpunan itu yang melanggar sistem demokrasi yang menjadi amalan negara ini.

"Wanita UMNO berpandangan perhimpunan sedemikian adalah suatu tindakan yang boleh memburukkan keadaan dan merugikan 27 juta rakyat Malaysia.

"Perhimpunan itu juga akan menyebabkan kepercayaan pelabur di luar negara ke atas negara ini yang sebelum ini aman damai akan terhakis sama sekali," katanya.