Enam Sukarelawan Malaysia Dari Kapal Rachel Corrie Akan Dibebaskan Hari Ini


SEPANG, 6 Jun – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam rakyat Malaysia yang kini dalam tahanan Israel selepas kapal ‘Rachel Corrie’ yang dinaiki mereka ditawan rejim itu semalam, akan dibebaskan dan dibawa masuk ke Jordan pada pukul 6 petang hari ini waktu Malaysia. Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Luar Jordan kepada Kedutaan Malaysia di Amman.
“Kedutaan kita di Amman sekarang sedang membuat segala persiapan yang perlu untuk membawa mereka pulang dengan selamat ke Malaysia,” katanya kepada pemberita pada hari Ahad.
Beliau sebelum itu menyambut kepulangan 12 rakyat Malaysia termasuk dua warga media yang sebelum ini ditahan Israel selepas kapal ‘Mavi Marmara’ yang dinaiki mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza ditawan tentera rejim Zionis itu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata usaha membawa pulang enam rakyat negara termasuk dua lagi warga media sedang diusahakan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Amman dan Kedutaan Thailand di Tel Aviv, Israel.
Enam rakyat Malaysia itu ialah wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Ahmad Faisal Amuzu dan Mathias Chang, Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria serta dua wakil media dari TV3, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin.
Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan penahanan kapal ‘Rachel Corrie’ dan kesemua 19 penumpang serta krewnya oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
“Mereka telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan kesemua 19 penumpang dan krew kapal termasuk enam rakyat Malaysia bagaimanapun berada dalam keadaan selamat,” kata beliau.
Mengulas perkara berkaitan, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk menjayakan sebarang misi kemanusiaan ke atas rakyat Palestin.
“Terserah kepada rakyat Malaysia, sekiranya mereka ingin membuat tindakan, ia sesuatu yang kerajaan tidak akan halang.
“Kita menyokong inisiatif dan nampak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengepalai misi yang baik ini. Kita akan sokong dan beri sokongan moral dalam menjayakan inisiatif seperti ini. Kita akan bantu dalam apa bentuk pun yang sewajarnya. Apa yang perlu kita lakukan, kita akan lakukan,” katanya.- BERNAMA

12 Wira Malaysia Selamat Tiba Di Tanah Air


SEPANG, 6 Jun – Dua belas sukarelawan Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusian ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, tiba di tanah air pukul kira-kira 5.40 pagi ini.
Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pegawai dari Wisma Putra dan anggota keluarga masing-masing.
Kumpulan sukarelawan itu yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai kementerian yang lain, tiba dari Istanbul, Turki dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Jordan pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia) pada Jumaat dan melakukan pertukaran penerbangan di Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air Sabtu petang.
Dalam insiden Isnin lepas, kapal milik Turki “Mavi Marmara”, yang membawa sukarelawan serta bantuan seperti perubatan, diserang tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan terbunuh.
Bagaimanapun, kesemua sukarelawan negara di atas kapal tersebut selamat tetapi ditahan tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.
Sehubungan itu, Anifah dan beberapa pegawainya berlepas ke Amman Rabu lepas bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia tersebut.
Kumpulan sukarelawan itu dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya kira-kira 9 pagi ini.-BERNAMA/MediaUMNO

Keyakinan Terhadap Kepimpinan Najib Dizahirkan oleh Tuanku Mizan


KUALA LUMPUR 5 Jun — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu melaksanakan segala perancangan yang telah disusun dengan berkesan bagi faedah dan kegemilangan bangsa, agama serta tanah air.
“Beta juga amat berbangga dengan catatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini pada kadar 10.1 peratus. Demikian juga, dengan kejayaan negara meningkat dari tangga ke-18 ke tangga 10 daya saing global mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Institute of Management Development,” titah baginda.
Kejayaan itu, titah Seri Paduka, menunjukkan suasana pelaburan dalam negara kembali kondusif dan memberangsangkan serta keyakinan rakyat sebagai pengguna semakin meningkat, sekali gus membuktikan keupayaan ekonomi negara untuk berkembang dan memasuki kembali fasa peningkatan yang tinggi serta mapan.
“Menjadi hasrat Beta untuk melihat semua rakyat Malaysia baik di bandar mahupun luar bandar sama-sama menikmati hasil pembangunan negara,” titah baginda pada majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun hari keputeran Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.
Mengenai masalah sosial dan keruntuhan akhlak yang sedang berleluasa, Seri Paduka menggesa semua anggota masyarakat termasuk ibu bapa, guru, para ulama, media dan cendekiawan serta jiran tetangga supaya berganding bahu untuk bersama-sama membantu anggota keselamatan dalam usaha membendung masalah itu secara kolektif.
“Kes pembuangan bayi, jenayah ragut, penderaan kanak-kanak, pembunuhan kejam merupakan sebahagian daripada perlakuan yang sangat tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan.
“Barang dijauhkan Allah s.w.t daripada sebarang mala petaka. Beta khuatir, masalah sosial ini jika tidak dibendung dan ditangani dengan segera serta berkesan akan meruntuhkan keharmonian masyarakat, bangsa dan negara,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah amalan rasuah, walaupun tidak menular dengan teruk, perlu diperangi habis-habisan dan kerajaan akan terus menggiatkan usaha-usaha pencegahan rasuah dengan telus dan tegas, tanpa mengira pangkat serta kedudukan dan tanpa mengambil kira sama ada kes berprofil tinggi atau rendah.
Titah baginda pengiktirafan dan penghormatan masyarakat antarabangsa terhadap negara membolehkan Malaysia memainkan peranan yang aktif dalam menangani pelbagai isu antarabangsa.
“Beta yakin penghormatan masyarakat luar ini berpunca daripada kejayaan negara kita untuk menjadi sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik. Penghayatan terhadap ajaran Islam yang sebenar akan terus memacu kita ke arah kejayaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat,” titah Seri Paduka.
Baginda berharap rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan dan terus bersatu kerana ia merupakan sumber kekuatan negara.
“Beta bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama, kita dilindungi daripada sengketa dan kekacauan. Kita telah bersama-sama membuktikan bahawa walaupun berbeza agama, budaya dan cara hidup, kita masih dapat tinggal bersama dalam keadaan aman sentosa dan saling menghormati,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan rakyat mengenai tangungjawab mereka mempertahan, membangun dan mendaulatkan negara.
“Tidak ada mana-mana negara dalam dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta nama hanya bergantung kepada inisiatif pemerintah dan pentadbir, tanpa sokongan dan peranan yang dimainkan oleh seluruh warganya,” titah baginda.
Pada majlis hari ini, Seri Paduka turut menyampaikan anugerah darjah dan pingat kebesaran kepada 39 penerima.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman. – BERNAMA