DS Tengku Adnan Tengku Mansor ~ Senarai Baru Kukuhkan Parti


Sebagaimana yang kita sedia maklum, semalam telah diumukan senarai terbaru Kepimpinan UMNO di peringkat negeri yang diyakini mampu mengukuhkan kedudukan parti dalam menarik lebih ramai sokongan rakyat menjelang PRU-13.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebagai contoh pelantikan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis serta Kedah.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai kelebihan dan pengaruh masing-masing di kalangan masyarakat akar umbi di kedua-dua negeri berkenaan.
”Pucuk pimpinan parti percaya dengan kewibawaan kedua-dua pemimpin ini. Mukhriz misalnya mempunyai pengaruh untuk meraih lebih banyak sokongan pengundi muda terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) di Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pelantikan semula pengerusi dan timbalan pengerusi UMNO negeri di Ibu Pejabat UMNO semalam.
Beliau sebelum itu ditanya mengenai keputusan pucuk pimpinan UMNO melantik Shahidan dan Muhkriz sebagai Timbalan Pengerusi Badan UMNO di Perlis serta Kedah.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan Shahidan, Tengku Adnan berkata, selain mempunyai pengalaman bekas Menteri Besar Perlis itu mempunyai kelebihan untuk berganding dengan Md. Isa bagi memantapkan lagi kedudukan UMNO di negeri berkenaan.
”Saya yakin gandingan kedua-dua pemimpin ini akan memberi impak yang berkesan kepada kekuatan UMNO di Perlis,” katanya lagi.
Begitu juga beliau berkata, dengan pelantikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta Datuk Zainal Abidin Osman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Pulau Pinang.
Berhubung keputusan untuk mengekalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Selangor serta Wilayah Persekutuan Tengku Adnan berkata, kepimpinan UMNO di kedua-dua negeri itu masih memerlukan kepimpinan dua pemimpin utama negara berkenaan.
Mengenai pengguguran tiga Naib Presiden sebagai pengerusi UMNO di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang Tengku Adnan berkata, langkah tersebut adalah sejajar dengan kehendak ahli akar umbi.
Selain itu katanya, ia juga adalah sebagai langkah terbaik untuk ketiga-tiga naib presiden berkenaan menumpukan perhatian kepada tugas-tugas hakiki iaitu berdasarkan kepada biro masing-masing.
”Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah diberi tanggungjawab mengendalikan biro latihan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula merupakan pengerusi tatatertib dan pindaan perlembagaan manakala Datuk Seri Mohd. Sahfie Apdal adalah pengerusi biro keahlian.
”Dengan tidak memegang jawatan pengerusi ketiga-tiga Naib Presiden ini akan dapat menumpukan kepada tugas-tugas yang telah dipertanggungjawabkan,” ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, pucuk pimpinan parti mengarahkan supaya semua perhubungan UMNO negeri mengadakan mesyuarat sekali dalam tempoh dua bulan.
”Mereka juga telah diminta memberi laporan-laporan terus kepada presiden,” katanya lagi.

UMNO ke 2011 Dengan Model Politik Baru


Model Baru Politik (MBP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Tun Razak diibaratkan tepat pada masanya demi survival parti dan agenda perjuangannya. 
UMNO, katanya, perlu berubah supaya lebih terbuka dan inklusif, dan model baru politik ini menjadi wadah bagi perubahan yang diperlukan serta diperincikan supaya dapat diamal oleh semua anggota parti.
Model berkenaan yang membawa tema “UMNO Dahulukan Rakyat” mengutamakan kepentingan rakyat dalam perjuangan UMNO, sekali gus menolak ‘lagu-lagu lama’ seperti ‘politik pembangunan’ yang dilihat sudah kurang menarik kepada rakyat.
Langkah pertama sudahpun dilaksanakan iaitu meminda perlembagaan parti supaya tidak hanya sebahagian anggota yang berkuasa membuat pilihan kepimpinan parti, tetapi keanggotaan yang lebih besar boleh memilih pemimpin mereka.
Pindaan yang dibuat kini membolehkan lebih 400,000 anggota layak memilih Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden serta anggota Majlis Tertinggi berbanding hanya 2,500 anggota.
Najib pernah berkata, UMNO harus berubah mengikut peredaran masa dan zaman kerana masyarakat sekarang menolak parti yang sudah berjasa kepada mereka kerana mereka melihat parti berkenaan masih dengan keadaan lama, tidak dinamik dan kaku.
Untuk memastikan UMNO ‘tak lapuk dek panas dan tak lekang dek hujan’, Najib yang serius mahu melakukan perubahan pada parti, juga menggariskan beberapa langkah menanganinya seperti yang dinyatakan dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 Oktober lalu.
Pemulihan itu harus melalui tiga fasa, iaitu memperakui kelemahan dan masalah, bermuhasabah dan mencari penawar mustajab, serta memulakan gerak kerja.
Tujuh perkara pula telah digariskannya, iaitu meletakkan parti lebih tinggi daripada peribadi, memperkuatkan pasukan bukannya kumpulan, memenangi hati rakyat, menjuarai media baru, sasar pengundi muda, sifar masalah dalaman dan mendahulukan rakyat.
Perubahan-perubahan yang dilakukan bukan setakat menjadikan anggota UMNO sebagai sasaran malah rakyat secara keseluruhannya, selaras dengan kedudukan Umno sebagai parti tunjang pemerintahan negara.
Apapun perubahan atau model yang mahu diterapkan, ia tidak akan mengubah matlamat perjuangan UMNO yang asal.
Namun Najib sedar, transformasi manusia bukannya semudah transformasi fizikal kerana ia mencabar, memakan masa selain memerlukan respon dan penghayatan yang secukupnya.
“Tapi (kita) jangan kecewa sebab kita berurusan dengan manusia, dan manusia, tentu sekali amat mencabar untuk melakukan perubahan besar dalam masa yang singkat,” katanya.
Selain MBP, UMNO juga mencatat detik manis apabila berjaya merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas pada pilihan raya kecil pada 4 Nov lepas. Calon Barisan Nasional dari UMNO, Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi, mengalahkan calon Pas, Dr Zulkefli Mohamed.
Walaupun pelbagai pihak menyatakan bahawa kemenangan itu memberi petanda sokongan sudah kembali kepada Umno/Barisan Nasional, dua tokoh politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad, mempunyai pandangan berbeza terhadap keputusan berkenaan.
Rumusannya, kemungkinan strategi yang digunakan oleh Tengku Razaleigh selaku  pengarah jentera pilihan raya kecil itu, bersesuaian dengan kehendak di kawasan itu dan keputusan mungkin berbeza sekiranya pilihan raya kecil itu diadakan di tempat lain.
Apapun, UMNO mesti mengambil perhatian bahawa ia tidak boleh berasaselesa dengan kemenangan itu dan harus sentiasa bekerja keras supaya perpaduan di peringkat akar umbi kekal mantap seperti yang diingatkan berkali-kali oleh presiden parti terutamanya untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.
Ada pemerhati politik yang mengatakan Najib akan memberi perhatian kepada kerajaan pada tahun pertama pimpinannya dan hanya memberi perhatian kepada politik parti pada tahun kedua di tampuk pemerintahan dan ini terbukti benar.
UMNO juga mengorak langkah memberikan nafas baru dengan membawa masuk 40 ulama muda, termasuk seorang anak bekas mufti negeri menyertainya, dengan objektif menyebarluaskan dakwah Islam dalam parti dan negara.
Terdapat juga perubahan besar yang akan dilakukan terhadap kepimpinan UMNO negeri untuk memperkuat dan memantapkan parti.
Apa yang dijangkakan perubahan itu membabitkan pengerusi perhubungan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan selain Terengganu yang kini diketuai sama ada oleh presiden, timbalan presiden dan tiga orang naib presiden.
Semua ini tidak lain tidak bukan bagi mempertahankan Putrajaya daripada dirampas pembangkang yang dianggap sebagai ‘saudagar mimpi’.
“Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan,” kata Najib kepada perwakilan UMNO.
Mesej terpentingnya ialah orang Melayu perlu memahami risiko iaitu berhadapan dengan kemungkinan kehilangan kuasa jika kelemahan tidak diakui, penawar politik tidak dicari dan usaha ke arah mempertahankan kuasa, gagal.
Dalam perjuangan juga UMNO perlu serius dengan isu pengundi, kerana sebagai contoh, jumlah pengundi yang berjaya didaftarkan melalui jentera Umno di Johor, misalnya, hanya 13,125 orang.
Dicampur jumlah pengundi yang didaftarkan oleh parti komponen BN lain, bilangan pengundi baru yang didaftarkan oleh BN di Johor hanya 14,768 orang sedangkan pembangkang mendaftarkan 18,129 orang.
Malaysia sudah melepasi separuh usia Parlimen selepas pilihan raya umum 2008, jadi masa semakin suntuk dan oleh yang demikian UMNO dan BN perlu bersedia dan tidak lagi boleh bertangguh-tangguh lagi dalam memperkuatkan ‘barisan’.
Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan  melawat negeri-negeri untuk berjumpa dengan ahli-ahli Umno dan rakyat.
Apabila perkara ini diutarakan, pemerhati dan penganalisis politik dan juga media tertanya-tanya adakah pilihan raya umum semakin dekat, sedangkan tempoh mandat BN sekarang hanya tamat pada 2013.
Tambahan pula pemilihan UMNO bagi peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadual diadakan pada tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan bagi membolehkan Umno memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan MBP.
Apapun, sama ada pilihan raya diadakan dalam masa terdekat atau tidak, UMNO tidak perlu menunggu 2011 untuk memantapkan parti dengan senjata baru diperkenalkan oleh presidennya.

Tawaran Istimewa Pembangkang Hanya Pembohongan Tagih Undi


Timbalan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat jangan mudah terpengaruh dengan tawaran-tawaran istimewa daripada pakatan pembangkang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.
Beliau berkata mereka boleh membuat tawaran sebegitu kerana pakatan pembangkang tidak mempunyai pengalaman untuk mengetuai kerajaan di peringkat pusat.
Katanya ini kerana setiap perkara yang diputuskan perlu membuat kajian dengan mendalam daripada segi implikasinya kepada rakyat dan negara.
“Kita nak meneliti apa kesannya dan kita akan beritahu rakyat mengenai penipuan di sebalik tawaran-tawaran manis dan gula-gula itu. Ada penipuan yang dibuat untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.
“Ini kerana mereka tidak mengambilkira sama ada tawaran sedemikian akan membawa negara kepada muflis atau sebagainya. Asal menang, sudah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Belia, di sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas mengenai tawaran dalam Program 100 hari yang dikemukakan pakatan pembangkang pada konvensyen mereka yang diadakan di Pulau Pinang, Ahad lalu.
Ia mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) Ke-13.
Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya berkata berbanding Barisan Nasional (BN), setiap keputusan yang dibuat perlu diperhalusi dan diteliti dan kerana itu, selama 53 tahun, negara boleh kekal dengan kemajuan yang cukup baik dan semua pihak mendapat faedah daripadanya.
“Oleh kerana itu, kita tidak boleh boros, tidak boleh membuat sesuatu yang boleh memberi kesan dan bencana kepada negara bagi jangka masa yang panjang.
“Ini adalah pertimbangan yang perlu diteliti oleh rakyat agar tidak termakan dengan tawaran yang dibuat oleh pembangkang,” katanya.
Muhyiddin berkata tawaran tersebut boleh menjadi satu pembohongan yang besar dan satu penipuan jika mereka membuat tawaran, dan tidak melaksanakannya kerana tidak membuat perkiraan yang betul daripada segi implikasinya.
“Setiap guru RM500, jumlah guru di negara ini hampir 400,000 guru, bermakna perbelanjaan sebulan RM200 juta, setahun RM2.4 bilion.
“Tetapi dari segi implikasinya, naik gaji guru tetapi gaji kakitangan kerajaan seramai 1.2 juta, tidak naik. Adakah guru sahaja yang diberi tawaran, kenapa tidak ditawarkan kepada kakitangan kerajaan yang lain, boleh jadi bankrap kita,” katanya.
Ditanya mengenai kemunculan parti-parti politik baru pada masa ini yang akan menjejaskan BN, Muhyiddin berkata “lagi banyak lagi bagus, kerana Malaysia ialah sebuah negara demokrasi.”
Katanya beliau menggalakkan lebih banyak pertubuhan yang berminat untuk bertanding pada pilihan raya umum untuk mendaftarkan parti-parti politik mereka dan rakyat mempunyai pilihan yang lebih banyak untuk memilih.
“Bagi kami, itu tidak mengugat BN, seperti yang lepas banyak parti lain, tetapi ia hanya boleh bertahan untuk satu penggal sahaja. Ia tidak boleh kekal kerana ia tidak mempunyai dasar yang jelas, ideologi pun takde, pemimpin mereka pun tidak mempunyai visi yang jelas,” tegasnya.

UMNO Cadang 5 Langkah Transformasi – Muhyiddin


UMNO hari ini mencadangkan lima langkah transformasi bagi memperkukuhkan lagi perjuangan Barisan Nasional (BN), antaranya memantapkan struktur organisasi BN khususnya di peringkat negeri, bahagian dan peti undi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dengan adanya struktur organisasi yang lebih mantap maka program bersama dengan parti komponen yang dilaksanakan oleh BN dapat dipergiatkan.

“Program seperti ini penting dalam usaha memupuk dan menyuburkan rasa kebersamaan dan kekitaan di kalangan ahli-ahli parti terutamanya di peringkat akar umbi,” kata Timbalan Presiden UMNO itu ketika berucap mewakili UMNO pada sesi penggulungan di akhir Konvensyen BN 2010 di sini.

Selain itu, katanya, selaras dengan pendekatan mesra rakyat dan responsif kepada harapan rakyat, pelbagai program sentuhan hati rakyat berbentuk kebajikan, pendidikan, kesihatan, kesukanan, kebudayaan dan ekonomi perlu dilaksanakan secara lebih berkesan dengan penglibatan parti komponen secara kolektif.

Katanya BN juga perlu mempelopori usaha mewujudkan rangkaian strategik dengan kumpulan-kumpulan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan, agama, belia, sukan, kebajikan dan lain-lain lagi yang berkongsi cita-cita perjuangan yang sama dengan BN.

“Ini adalah selaras dengan pindaan perlembagaan BN yang membuka keahlian secara terus kepada individu dan pertubuhan bukan kerajaan,” kata Muhyiddin.

Katanya pindaan perlembagaan itu telah membuka ruang seluas-luasnya kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk menerima BN sebagai wadah politik yang benar-benar bercirikan semangat dan roh 1Malaysia.

Menyentuh langkah kelima, Muhyiddin juga berkata sudah sampai masanya bagi BN mengambil langkah berani untuk mara lebih jauh ke hadapan dalam menangani isu-isu sensitif berkaitan hubungan kaum dan agama yang sering kali di sebut sebagai ‘taboo’ atau pantang larang dalam politik masyarakat majmuk.

Katanya prestasi dalam pilihan raya juga amat bergantung kepada faktor bagaimana rakyat menilai BN sebagai parti yang mempunyai keabsahan politik atau parti yang sentiasa dinilai oleh rakyat sebagai layak untuk memerintah.

“Di sinilah letaknya cabaran sebenar kita iaitu untuk mengekalkan keabsahan politik untuk menjadi sebuah parti yang sentiasa dinilai secara positif oleh rakyat dalam suasana di mana rakyat juga mengalami perubahan dari segi pemikiran, sikap, gaya hidup dan pandangan politik,” katanya.

Muhyiddin juga berkata bahawa UMNO akan sentiasa berlaku adil kepada kaum lain dan akan sentiasa bermusyawarah dengan parti komponen BN untuk mencapai kesepakatan dalam perkara yang menyentuh kepentingan semua kaum.

“Terbukti, hasil kesediaan kita untuk saling memahami dan menerima, bersetia dan bekerjasama, bermusyawarah dan bermuafakat, BN kekal sebagai parti politik yang memerintah tatkala banyak parti-parti politik yang hampir seusia dengan parti kita telah lumpuh dan rebah,” katanya.

Katanya, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, BN bersyukur kerana terus mendapat mandat menerajui kerajaan dan berbakti kepada rakyat.

“Dari sudut ini, saya ingin mengatakan bahawa BN adalah sebuah cerita kejayaan,” katanya.