Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dengan adanya struktur organisasi yang lebih mantap maka program bersama dengan parti komponen yang dilaksanakan oleh BN dapat dipergiatkan.
“Program seperti ini penting dalam usaha memupuk dan menyuburkan rasa kebersamaan dan kekitaan di kalangan ahli-ahli parti terutamanya di peringkat akar umbi,” kata Timbalan Presiden UMNO itu ketika berucap mewakili UMNO pada sesi penggulungan di akhir Konvensyen BN 2010 di sini.
Selain itu, katanya, selaras dengan pendekatan mesra rakyat dan responsif kepada harapan rakyat, pelbagai program sentuhan hati rakyat berbentuk kebajikan, pendidikan, kesihatan, kesukanan, kebudayaan dan ekonomi perlu dilaksanakan secara lebih berkesan dengan penglibatan parti komponen secara kolektif.
Katanya BN juga perlu mempelopori usaha mewujudkan rangkaian strategik dengan kumpulan-kumpulan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan, agama, belia, sukan, kebajikan dan lain-lain lagi yang berkongsi cita-cita perjuangan yang sama dengan BN.
“Ini adalah selaras dengan pindaan perlembagaan BN yang membuka keahlian secara terus kepada individu dan pertubuhan bukan kerajaan,” kata Muhyiddin.
Katanya pindaan perlembagaan itu telah membuka ruang seluas-luasnya kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk menerima BN sebagai wadah politik yang benar-benar bercirikan semangat dan roh 1Malaysia.
Menyentuh langkah kelima, Muhyiddin juga berkata sudah sampai masanya bagi BN mengambil langkah berani untuk mara lebih jauh ke hadapan dalam menangani isu-isu sensitif berkaitan hubungan kaum dan agama yang sering kali di sebut sebagai ‘taboo’ atau pantang larang dalam politik masyarakat majmuk.
Katanya prestasi dalam pilihan raya juga amat bergantung kepada faktor bagaimana rakyat menilai BN sebagai parti yang mempunyai keabsahan politik atau parti yang sentiasa dinilai oleh rakyat sebagai layak untuk memerintah.
“Di sinilah letaknya cabaran sebenar kita iaitu untuk mengekalkan keabsahan politik untuk menjadi sebuah parti yang sentiasa dinilai secara positif oleh rakyat dalam suasana di mana rakyat juga mengalami perubahan dari segi pemikiran, sikap, gaya hidup dan pandangan politik,” katanya.
Muhyiddin juga berkata bahawa UMNO akan sentiasa berlaku adil kepada kaum lain dan akan sentiasa bermusyawarah dengan parti komponen BN untuk mencapai kesepakatan dalam perkara yang menyentuh kepentingan semua kaum.
“Terbukti, hasil kesediaan kita untuk saling memahami dan menerima, bersetia dan bekerjasama, bermusyawarah dan bermuafakat, BN kekal sebagai parti politik yang memerintah tatkala banyak parti-parti politik yang hampir seusia dengan parti kita telah lumpuh dan rebah,” katanya.
Katanya, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, BN bersyukur kerana terus mendapat mandat menerajui kerajaan dan berbakti kepada rakyat.
“Dari sudut ini, saya ingin mengatakan bahawa BN adalah sebuah cerita kejayaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment