Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kuasa politik yang diperolehi orang Melayu sejak negara merdeka adalah penting kerana ia telah membolehkan mereka maju dalam pelbagai bidang.
“Sebab itu, untuk menentukan kuasa politik yang kita miliki kekal, kita kena bersatu. Kalau kita berpecah, kuasa politik yang menentukan kemajuan kita dalam bidang ekonomi, pelajaran akan hilang,” katanya.Muhyiddin berkata demikian ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan Israk Mikraj UMNO bahagian Pagoh di Masjid Kampung Parit Raja, Gersik, di sini.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO telah berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di dunia walaupun umat Islam negara ini hanya separuh dari jumlah penduduknya.
“Kejayaan kita memajukan negara ini sehingga diiktiraf sebagai sebuah negara Islam contoh dikagumi di kalangan negara Islam di dunia,” menurut beliau.
Malah, katanya, kerajaan telah berjaya mengatasi masalah kemiskinan, satu usaha yang dituntut Islam sehingga kadar kemiskinan telah menurun dari 66 peratus suatu ketika dulu kepada hanya tiga peratus ketika ini.
Beliau yakin, matlamat kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar pada hujung tahun ini akan tercapai sepenuhnya. – Bernama/MediaUMNO
No comments:
Post a Comment